BULAN Ramadan merupakan detik yang dinantikan seluruh umat Islam kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri bukan sahaja dari sudut rohani, malah daya tarikan bazar Ramadan dan juadah berbuka puasa juga antara yang paling digemari masyarakat.
Pemilik gerai jualan dan bazar Ramadan antara yang paling ternanti-nantikan saat ini kerana boleh dikatakan sebagai musim 'durian runtuh' buat mereka apabila meraih rezeki pendapatan berlipat ganda dari kebiasaannya.
Namun, situasi itu dikatakan sudah tidak lagi berlaku pada tahun ini kerana kos sara hidup yang semakin meningkat tinggi, menyebabkan penduduk lebih memilih untuk berjimat menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi.
Situasi itu dikongsikan oleh salah seorang pemilik restoran di Kulim, Kedah baru-baru ini apabila difahamkan sangat terkesan dengan situasi yang berlaku sekarang.
Menurutnya, meskipun sudah memasuki minggu ketiga bulan puasa, dia masih lagi belum meraih keuntungan hasil daripada jualan di restoran 'Laksa Tumis Seafood' miliknya.
"Walaupun dah masuk minggu ketiga, masih lagi tak dapat untung dan saya terpaksa guna duit simpanan untuk bayar gaji pekerja.
"Kami faham sekarang musim orang berjimat, kos sara hidup makin tinggi... jadi kami langsung tak ada untung Ramadan tahun ini. Buka kedai pun tak dapat nak tampung kos sewa kedai apatah lagi gaji pekerja.
"Memang terdesak sungguh tahun ini, bagi peniaga di luar sana harap anda semua tabah dan jangan putus asa, harap ada rezeki untuk tahun ini," ujarnya di laman media sosial.
Dalam pada itu, beberapa pihak turut mendakwa kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini menjadi faktor utama mengapa masyarakat kurang membeli pada Ramadan tahun ini.
Menurut Mohd Fahmi, kuasa membeli dalam kalangan pengguna sekarang semakin berkurangan ditambah pula dengan kos sara hidup yang mahal, sekali gus mengakibatkan peniaga sangat terkesan dengan hasil jualan yang kian merudum.
"Kuasa membeli dah takda sekarang ini, ibu bapa nak buat persiapan anak bersekolah dan dalam masa sama raya bakal tiba, jadi memang tiada bajet untuk membeli di bazar ataupun restoran," katanya.
"Tak nafikan bahawa masyarakat hari ini lebih berjimat cermat dan kurangkan makan di restoran kerana harga jualan semakin mahal, tetapi tak boleh salahkan peniaga juga kerana mereka juga mahu mencari pendapatan dan rezeki sendiri," jelas Nurul Amanina.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan peningkatan harga makanan berpunca akibat daripada kemelut bekalan bahan mentah yang semakin berkurangan.
Perkara itu turut diakui oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid yang berpendapat, pengusaha gerai dan restoran terpaksa menaikkan harga makanan sehingga 40 peratus.
Mohd Azmi berkata, walaupun harga bahan mentah naik, harga makanan masak dan minuman tidak harus dinaikkan tanpa kawalan dan pantauan akan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram