KIRA-KIRA 117,000 anggota dan pegawai polis diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dibekukan cuti perayaan mereka sebagai persiapan bagi penugasan di musim Aidilfitri yang bakal tiba nanti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya 10 peratus daripada 130,000 jumlah keanggotaan perkhidmatan awam itu dibenarkan bercuti dan pulang berhari raya.
Tidak dinafikan bahawa, perkara itu sudah menjadi kebiasaan buat seluruh anggota yang bekerja di dalam perkhidmatan pertahanan negara khususnya polis.
Namun, melihatkan situasi dan keadaan yang semakin berlarutan sejak zaman dahulu, isu pembekuan cuti dalam kalangan anggota polis mula mendapat perhatian sesetengah pelusuk pihak yang mendakwa ia sebagai satu perkara tidak adil bagi mereka yang berkhidmat di bawah bidang perkhidmatan pertahanan negara.
Saifuddin berkata, hanya 10 peratus daripada 130,000 jumlah keanggotaan perkhidmatan awam itu dibenarkan bercuti dan pulang berhari raya. — Bernama
Mengulas lanjut berkaitan hal tersebut, Setiausaha Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia, Mohamed Lokman Mahmud, 64, berkata, ia tidak adil bagi anggota polis apabila terpaksa berkorban setiap kali musim perayaan walhal pegawai perkhidmatan pertahanan lain tidak tergolong dalam pembekuan cuti tersebut.
Akur dengan segala arahan dan perintah daripada kerajaan, Mohamed Lokman bagaimanapun masih mengharapkan agar ada perubahan dan penambahbaikan dilakukan pihak atasan berhubung perkara tersebut.
"Isu pembekuan cuti ini memang perkara biasa dalam kalangan polis, saya sendiri pernah tidak beraya selama lima tahun apabila cuti dibekukan dan perlu menjalankan operasi di hari perayaan Aidilfitri dan sebagainya.
"Tetapi, kita perlu fikir juga mengapa hanya polis sahaja yang dikenakan arahan tersebut, walhal anggota di unit pertahanan lain tidak menerima arahan sama.
"Kerajaan sepatutnya membentuk satu operasi kerjasama dengan setiap pasukan pertahanan dalam negara termasuklah pegawai Maritim, anggota tentera dan RELA, jadi tugasan di hari perayaan itu tidak sekadar disandarkan kepada anggota polis sahaja.
"Secara tidak langsung, ia lebih adil sekiranya pembekuan cuti turut dilaksanakan terhadap semua unit anggota yang dimaksudkan, jadi bebanan kerja itu juga mungkin akan berkurangan dan jumlah anggota yang terpaksa bekerja juga boleh dikurangkan," ujarnya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar kenaikan gred polis ditambah dan dinaikkan segera oleh pihak kerajaan dengan jumlah polis berpangkat tinggi semakin bertambah, ia diyakini akan memudahkan operasi di hari perayaan.
"Kalau kita lihat sekarang ini, masih ramai polis yang tidak dinaikkan pangkat dan penambahan jumlah anggota juga tidak dilakukan, jadi polis memang kekurangan tenaga kerja dan akhirnya terpaksa kerah keringat kami untuk bekerja di hari raya dengan bilangan yang minimum.
"Kena tambah segera bilangan anggota, jadi polis yang masih di berpangkat OCPD akan dinaikkan pangkat dan membantu operasi berjalan dengan lebih lancar.
"Ditambah pula dengan kerjasama daripada pasukan tentera dan Maritim, ia mungkin akan dapat mengatasi isu pembekuan cuti pada masa akan datang.
"Memang hanya polis yang mempunyai kuasa untuk menjalankan pemeriksaan, tetapi saya yakin dengan kerjasama dibentuk mampu meringankan beban atau mungkin elaun tambahan juga antara penyelasaian dalam isu ini," tambahnya.
Justeru, Mohamed Lokman berharap agar pihak kerajaan segera menjalankan penambahbaikan selain membendung isu pembekuan cuti dalam kalangan anggota polis di masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram