Sedia bertahan bertemu JDT, fans The Cops awal-awal pasrah kena ratah Harimau Selatan


  • Podium
  • Selasa, 18 Apr 2023

PDRM akan bertemu dengan JDT dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya. — Facebook PDRM FC

SEJAK pembukaan musim 2023, pasukan Johor Darul Takzim (JDT) belum pernah lagi menghampakan penyokong dalam setiap perlawanan mereka.

Boleh dikatakan JDT mendominasi kemenangan di semua perlawanan tidak mengira sama ada Piala FA atau Liga Super.

Kejayaan itu tentu sahaja membuatkan pasukan lawan berasa gerun untuk berdepan dengan JDT apatah lagi sudah banyak kelab yang menjadi 'mangsa' mereka.

Tidak terkecuali, skuad The Cops yang bakal bertemu dengan JDT bagi aksi Liga Super pada Rabu di Stadium Petaling Jaya (MBPJ), Selangor turut dikatakan bakal menjadi 'mangsa' seterusnya.

341245119_216201561031338_7716469438760455153_n

Tewas dalam perlawanan Piala FA, penyokong pasrah jika PDRM sekali lagi berputih mata menentang JDT. — Facebook PDRM Football Club

Melihat kepada kehebatan yang dipamerkan, penyokong The Cops terlebih dahulu berlapang dada untuk menerima sebarang kemungkinan terhadap keputusan pada malam perlawanan itu nanti.

Apatah lagi PDRM sendiri tewas 3-0 menentang JDT menerusi perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada pertembungan Piala FA 14 April lalu.

Dalam satu rakaman temubual, Ketua Jurulatih Polis Diraja Malaysia Football Club (PDRM FC), Azzim Aziz memaklumkan kesediaan mereka berhadapan dengan Harimau Selatan.

Sasaran mereka hanyalah untuk mengukuhkan benteng pertahanan sekali gus mengurangkan jumlah gol yang bolos.

"Tahniah kepada JDT. Macam kita katakan, kita datang untuk mengurangkan defisit gol JDT di SSI. Tetapi jika ada peluang untuk menyerang memang kita akan menyerang.

341216398_946394746603267_746255522252563406_n

Penyokong PDRM tidak sabar menantikan perlawanan menentang JDT 19 April depan. — Facebook PDRM FC

"Bagaimanapun saya gembira dengan prestasi pemain kerana pasukan PDRM sendiri masih baru," jelasnya mengenai kekalahan PDRM dengan JDT itu.

Melihat kepada kekalahan itu, peminat mula menyuarakan perasaan 'redha' sekiranya PDRM sekali lagi perlu berdepan dengan kekecewaan.

Menerusi Facebook Johor Southern Tiger, rata-rata penyokong PDRM akur dengan kehebatan JDT.

Mereka bersedia jika kejadian sama di Piala FA berulang semula dalam Liga Super nanti.

"Kita hanya mampu merancang tetapi TUHAN menantukan. Kalau tengok, memang jadi 'lauk' nanti," kata Yunus Akil.

"Banyak dah team dapat 0. Jadi kalau kata PDRM pun sama, tiada yang nak malu sangat," kata Starhill Master.

"Tak mengapa. Lumrah kehidupan memang begitu. Ada ubi ada batas, kalau ada hari nanti kita balas. Masa sekarang kita rasa dulu," kata Siti Melor.

"Anggap inilah masa untuk PDRM buktikan kemampuan. Siapa tahu rezeki berpihak pada kita," kata Zakaria Isa.

Dengan peluang beraksi di tempat sendiri, penyokong mengharapkan pertahanan PDRM mampu mematahkan cubaan JDT atau sekurang-kurangnya menjaringkan satu jaringan dalam perlawanan 19 April nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram