Bukan saja menggamit memori, suka duka iklan raya pasti ada mesej tersirat


  • Hiburan
  • Ahad, 16 Apr 2023

Setiap tahun terdapat pelbagai iklan raya yang menarik perhatian penonton sama ada bertemakan air mata atau komedi.

LEBARAN merupakan detik yang paling dinantikan oleh seluruh umat Islam setelah sebulan berpuasa. Kemeriahannya bukan sekadar dapat menjamu selera atau bersua muka dengan sanak saudara, tetapi berpeluang memupuk rasa kasih sayang dan mengeratkan hubungan.

Segala memori itu akan tersimpan kemas dalam ingatan untuk dijadikan kenang-kenangan. Begitu juga dengan iklan raya yang saban tahun tidak pernah menghampakan.

Biarkan berbeza penceritaan, namun semangat raya dan kecintaan untuk meraikan Syawal menebal dalam diri. Mesej yang disampaikam juga sama iaitu hargai ikatan tali persaudaraan dan kasih sayang ibu bapa.

Berikut Majoriti senaraikan iklan Aidilfitiri yang mengembalikan nostalgia raya dan masih diperkatakan sehingga ke hari ini.

Burung murai

majoriti2023 (11)

Dihasilkan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas sentiasa membawakan iklan raya yang meninggalkan kesan kepada penonton. Penceritaan yang diketengahkan membuatkan penonton menitis air mata dan meninggal bekas di hati.

Iklan burung murai yang diterbitkan pada 2009 ini mengkisahkan seorang lelaki yang pulang menyambut Lebaran bersama ahli keluarganya di kampung. Namun, ketika sedang menikmati juadah hari raya, lelaki itu melihat bapanya duduk sendirian di luar rumah.

Dia kemudian menegur bapanya dan secara tiba-tiba seekor burung murai hinggap di sebatang dahan. Ketika itu mulalah babak ‘burung murai’ yang sehingga ke hari ini masih menjadi bualan tidak dapat dilupakan penonton.

Lelaki itu yang mula meninggikan suara apabila bapanya berulang kali bertanyakan tentang ‘burung apa?’. Dia kemudian sedar dan insaf dengan kesilapannya itu selepas membaca diari ibunya yang menyatakan dirinya dahulu pernah berkelakuan begitu, namun langsung tidak dimarahi oleh bapanya.

Fizi dan Ahmad

majoriti2023 (1)

Mengisahkan tentang anak yatim yang berusaha untuk pulang menyambut hari raya bersama dengan keluarga. Namun, disebabkan tidak mempunyai ahli keluarga yang lain, Fizi dan Ahmad hanya berhari raya di pusat jagaan anak yatim.

Bagaimanapun, Ahmad tiba-tiba meminta pulang ke kampung untuk menyambut Lebaran bersama 'ibu' Fizi. Kedua-duanya pun kemudian bersiap-siap dan menempuh pelbagai pengalaman dan rintangan sebelum tiba di kampung.

Iklan diterbitkan pada 2012 oleh Bernas itu mendapat pelbagai reaksi penonton dan rata-rata cukup tersentuh dengan plot penceritaan yang menyayat hati.

Aku Ingin Pulang

majoriti2023 (10)

Berbekalkan kurang daripada tiga minit, iklan Syawal Aku Ingin Pulang oleh Petronas pada 2006 turut menjadi antara yang paling diingati. Masakan tidak, iklan terbabit memaparkan sikap anak yang berasa dirinya terbeban kerana perlu menjaga bapanya yang sedang uzur terutama ketika menyambut Syawal.

Anak dan menantu warga emas itu juga kerap memberikan layanan buruk dan menganggap kehadiran orang tua terbabit hanya menyusahkan keluarga.

Bagaimanapun, pengakhiran iklan yang disampaikan secara sederhana, namun cukup memberikan impak besar kepada penonton dan diharapkan dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.

Siapa makan pasta Dania?

majoriti2023 (2)

Selain menceritakan tentang kisah air mata dan kasih sayang keluarga, iklan raya Prego pula memilih penceritaan berbeza. Memilih tema komedi, iklan raya 2019 itu dilakonkan oleh Datin Marlia Musa dan Dee Alhadi.

Iklan tersebut mempamerkan siapa yang memiliki gelang emas atau barangan kemas yang paling mahal. Tidak dinafikan situasi itu antara yang sering berlaku apabila pulang berhari raya.

Golongan wanita masing-masing tidak melepaskan peluang untuk mempamerkan koleksi barang kemas mereka terutama apabila menjelang hari raya.

Ikan di laut, asam di darat

majoriti2023 (12)

Sejak iklan ini mula ditayangkan pada 2005, bidalan ikan di laut, asam di darat, dalam peruk bertemu jua menjadi ucapan yang popular. Hal itu turut membuatkan nama watak iklan terbabit Suparjo dan Raju menjadi terkenal.

Diterbitkan oleh TV3, iklan terbabit menggambarkan hubungan dua sahabat yang terpisah. Mereka kemudian bertemu semula selepas Suparjo atau Jo berpindah di kawasan perumahan baharu.

Iklan itu sekali gus menjadi antara bahan komedi dan parodi oleh beberapa individu lain terutama menjelang hari raya. Dalam iklan tersebut, Hari Raya Aidilfitri diraikan bersama dengan Deepavali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram