BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk melakukan kebaikan sama ada meningkatkan amal ibadah atau mengubah sikap mahupun perbuatan agar menjadi lebih baik.
Begitu juga dengan melakukan solat sunat qiamullail atau tahajud yang dituntut bagi mendapatkan keredaan ALLAH. Bahkan hal itu turut digalakkan dalam Islam iaitu bangun pada pertengahan atau sepertiga malam untuk mengerjakan solat sunat qiamullail.
Amalan ini merupakan sunnah Nabi yang wajar dituruti oleh umat Baginda bagi meraih pahala yang besar daripada ALLAH SWT dan mendapat keampunanNYA terhadap segala dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan oleh seseorang.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah R.A, Rasulullah SAW sentiasa bangun mendirikan solat quyamullail sehingga bengkak kaki Baginda. Apabila Aisyah bertanya mengapa Baginda bertungkus-lumus mengerjakan solat tersebut? Baginda menjawab: " Kerana ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur kepada TUHANNYA."
Luangkan masa untuk mendirikan solat sunat seperti sunat tasbih, solat sunat witir, solat hajat pada bulan Ramadan.
Jelas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, sesungguhnya solat qiyqmullail memiliki banyak kelebihan.
Kata belia, antaranya ialah untuk mendapat kasih sayang ALLAH SWT, mendapat keampunan terhadap segala dosa yang terdahulu serta mendapat rahmat dan keberkatan.
"Di dalam kehidupan ini, terdapat pelbagai hal membahagiakan di akhirat kelak dengan segala jenis nikmat yang disediakan di syurga untuk mereka yang melakukan ibadah ini dengan tekun dan ikhlas.
"Di dalam bulan Ramadan khususnya, seorang Muslim disarankan supaya meningkatkan lagi amalan-amalan sunat termasuk bangun mengerjakan solat qiamullail. Ini adalah lantaran di dalam bulan yang mulia ini ganjaran pahala digandakan.
"Lebih-lebih lagi jika amalan taat dan ibadah yang dikerjakan itu menepati malam qadar yang pahalanya melebihi ganjaran beribadah selama seribu bulan iaitu menyamai 80 tahun empat bulan," katanya kepada Majoriti.
Rebut peluang mendirikan solat tahajud untuk mendapat belas kasihan ALLAH dan rahmat daripada-NYA.
Mengulas lanjut, dalam bulan Ramadan khususnya, seorang Muslim disarankan supaya meningkatkan lagi amalan-amalan sunat termasuk bangun mengerjakan solat qiamullail. Ini adalah lantaran dalam bulan mulia ini ganjaran pahala digandakan.
"Untuk memperoleh keutamaan malam qadar maka kita disarankan supaya lebih bersungguh melakukan ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadan sebagai meneladani Rasulullah SAW.
"Maka untuk memperoleh kelebihan yang maksimum pada bulan yang mulia ini, umat Islam tidak harus sekadar melakukan solat tarawih sahaja, tetapi wajar juga mengerjakan solat-solat sunat yang lain seperti solat sunat tasbih, solat sunat witir, solat hajat dan lain-lain.
"Seterusnya dilakukan juga dengan amalan-amalan sunat lain termasuk tilawah al-Quran, bermunajat dan beristighfar pada waktu sahur, berselawat ke atas Nabi, berzikir dan sebagainya," terangnya.
Oleh itu, bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi seorang muslim mendekatkan diri kepada TUHAN untuk mendapat rahmah. Maka bersungguh-sungguhlah berusaha ke arah matlamat yang mulia ini dan jangan membiarkan diri terus berada di dalam kelalaian merugikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram