PUSAT tuisyen dalam talian, MCPlus yang mengadakan siaran langsung bacaan al-Quran, Mengaji Maraton 2023, selama 12 jam tanpa henti pada sambutan Nuzul Quran, 8 April lalu merupakan salah satu usaha membudayakan bacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam.
Diadakan secara dalam talian di YouTube, MCPlus mengharapkan acara tersebut akan dapat terus dijadikan sebagai aktiviti tahunan mereka setiap kali menjelang Ramadan.
Perkara itu suarakan oleh Tutor MCPlus, Muhammad Khairul Amir Maaruf yang memberitahu perkara terbabit sudah mula dilaksanakan sejak 2021.
Katanya, program berkenaan merupakan salah satu usaha untuk menyemarakkan lagi semangat Ramadan sekali gus mendidik masyarakat agar lebih dekat kepada al-Quran.
"Persiapan dibuat seawal 4.30 pagi di mana kami bersahur bersama sebelum siaran langsung bermula pukul 6.30 pagi hingga 6.30 petang.
Bacaan al-Quran siaran langsung secara 12 jam.
"Ini juga merupakan inisiatif kami untuk membantu umat Islam khatam al-Quran pada bulan Ramadan dengan membawa 10 hingga 11 juzuk awal al-Quran semasa maraton mengaji dilakukan," katanya kepada Majoriti.
Oleh itu, individu yang turut serta dalam program tersebut secara tidak langsung dapat meneruskan bacaan sehingga menamatkan 30 juzuk al-Quran.
Mengimbau semula kali pertama mengadakan siaran langsung itu, Khairul Amir mengakui perkara itu bukan satu hal mudah yang boleh dilakukan.
Hal ini kerana terdapat beberapa kekangan terutama talian internet yang secara tidak langsung memberi kesan kepada aktiviti penyiaran.
"Ketika pertama kali bersiaran, kami tidak tahu had masa yang ditetapkan di YouTube iaitu siaran langsung tidak boleh melebihi 12 jam.
"Bermula daripada itu, kami banyak belajar dan berusaha membaiki kualiti persembahan seperti tempat qari membaca al-Quran.
Beberapa barisan selebriti turut terlibat menjayakan program Mengaji Maraton 2023.
"Dahulunya kami menggunakan tenaga kerja MCPlus untuk urusan bacaan al-Quran. Kemudian secara perlahan-lahan kami menambah kualiti dan mencantikkan lagi seperti menambah skrin LED dan pentas bacaan.
"Terbaharu, kami turut berpeluang menjalinkan kerjasama dengan barisan figura terkenal untuk turut serta memeriahkan aktiviti ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul Amir turut mengatakan pusat tuisyen terbabit bukan sahaja memberi fokus kepada bidang akademi, tetapi turut mencakupi soal didikan agama khususnya bacaan al-Quran dan solat.
"Kami menyediakan tiga peringkat pengajian agama iaitu kelas Iqra, tajwid dan membetulkan solat. Jadi tujuan kami bukan sahaja dapat melahirkan pelajar cemerlang, tetapi turut menitikberatkan soal akhirat," terangnya.
Untuk rekod, aktiviti bacaan al-Quran itu turut disertai oleh beberapa selebriti tanah air antaranya, Anas Tahir, Mawi, Ustaz Adnin, Raqib Majid, Qawi dan Sirpuloh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram