Tamatkan 'nyawa' ulat tiket, Pembawa minta selaras sistem vendor setiap terminal


  • Massa
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Perkhidmatan vendor tiket sudah mula dilaksanakan di TBS. — Gambar hiasan

ISU ulat tiket semakin hangat diperkatakan menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Bulan Ramadan yang sudah memasuki minggu kedua menyaksikan terminal bas mula sibuk dengan urusan jual beli tiket sebagai persediaan awal umat Islam pulang ke kampung halaman.

Sesetengah terminal bas di kawasan bandar sudah dilengkapi sistem kaunter 'centralised ticketing service' dan perkhidmatan vendor namun di kawasan terpencil dan perkampungan misalnya masih lagi belum memiliki kemudahan terbabit.

Perkara itu secara tidak langsung mengakibatkan sistem jualan di lokasi berkenaan masih lagi ketinggalan dan boleh mengundang kepada berlakunya kegiatan ulat tiket yang tentu mengambil kesempatan ke atas pembeli.

nsac

Kegiatan ulat tiket semakin berleluasa menjelang perayaan Aidilfitri. — Gambar hiasan

Perkara itu diluahkan oleh Presiden Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail yang nyata mahukan sistem vendor diselaraskan di setiap terminal secepat yang mungkin.

Jelasnya, sistem jualan secara perkhidmatan vendor lebih efisyen dan telus berbanding di kaunter ataupun melalui ejen di luar kawasan.

"Lebih baik kalau semua terminal bas diletakkan vendor tiket, jadi isu ulat tiket dapat dihapuskan segera dan sebarang kesilapan adalah atas tanggungjawab masing-masing.

"Kalau ikut statistik, pembeli zaman sekarang lebih gemar mendapatkan tiket secara atas talian kerana ia lebih mudah dan cepat, jadi saya berpendapat pembelian melalui vendor juga akan mendatangkan kesan baik jika ia diselaraskan di setiap terminal.

"Hanya di beberapa kawasan sahaja yang sudah ada perkhidmatan itu dan selebihnya masih berurusan di kaunter seperti biasa, jadi selalunya ulat tiket akan ambil peluang dan mensasarkan lokasi seperti itu untuk mengaut keuntungan," ujarnya kepada Majoriti.

Sebelum ini, Majoriti ada mendapatkan maklum balas daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung isu ulat tiket dan Ketua Pengarahnya, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, pihaknya maklum akan isu berkenaan selain sedang merangka perancangan terbaik bagi membanteras ia daripada terus berlarutan.

Menurutnya, pihak APAD sedang dalam proses untuk membuat perubahan dari segi akta Rang Undang-Undang untuk menguatkuasakan pelesenan pada terminal di seluruh negara.

"Bila ada lesen, kita akan dapat pantau melalui teknologi sistem 'centralised ticketing service' apabila urusan jual beli tiket akan dikendalikan secara atas talian dan melalui perkhidmatan vendor.

"Ada dua cara untuk orang mendapatkan tiket selepas ini, satu dengan cara pembelian atas talian dan keduanya adalah melalui mesin vendor yang akan diletakkan di setiap terminal bas," ujarnya kepada Majoriti.

Justeru, diharap pihak berwajib segera menjalankan kerja-kerja untuk menambah baik fasiliti dan perkhidmatan jualan tiket di terminal khususnya di kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan jika dibandingkan di ibu kota.

Bertitik tolak daripada itu, ia diharap mampu membendung segala masalah yang terpalit dengan isu jualan tiket khususnya terutamanya kegiatan 'ulat tiket' yang sudah sekian lama berlarutan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram