MENJELANG pertemuan Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Ahad ini, penyokong Sang Kenari sudah mula membayangkan jumlah jaringan yang akan dibolosi oleh barisan pertahanan pasukan itu kelak.
Manakan tidak, JDT yang sehingga kini masih lagi belum ditewaskan mana-mana pasukan, semakin mengukuhkan kedudukannya di puncak liga dengan 21 mata jauh terpisah dengan Selangor FC di kedudukan kedua yang hanya mencatatkan 16 mata.
Tujuh kemenangan berturut-turut diperoleh pasukan Harimau Selatan setakat ini dengan terbaharu, Perak FC menjadi mangsa belasahan kelab itu selepas berjaya menang besar dengan keputusan 5-0.
Untuk rekod, ia bukan kali pertama anak-anak buah Estaban Solari itu memperoleh kemenangan besar dengan beberapa lagi pasukan lain sebelum ini turut berhadapan nasib serupa dan jaringan terbesar dicapai adalah ketika menentang Negeri Sembilan FC yang menyaksikan keputusan 7-0 berjaya diraih di Stadium Paroi.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan JDT mengumpul tiga mata dengan kemenangan 4-1. — Facebook/JDT
Justeru, harapan penyokong Kedah ketika ini kian merudum menjelang perlawanan seterusnya nanti bakal menemukan mereka dengan skuad Harimau Selatan.
Masih menaruh kepercayaan kepada skuad Sang Kenari, namun rata-rata penonton sudah bersedia untuk menerima segala keputusan yang bakal diperoleh sekiranya Kedah tewas dalam perlawanan itu nanti.
Melihatkan rekod cemerlang pasukan JDT, penyokong Kedah seakan sudah boleh menjangkakan kekalahan besar yang akan diperoleh.
"Aku tahu kali ini memang Kedah akan jadi mangsa seterusnya, pasukan lain semua kena bolos lebih daripada tiga gol, jadi Kedah mungkin akan terima nasib sama," kata Fariz Imran.
"Hahaha, rasanya bakal terima sagu hati daripada JDT sempena dengan sambutan bulan Ramadan ni untuk Kedah, 6 gol," kata Zainal Abdrahman.
"Kalau tengok prestasi JDT kebelakangan ni, dah boleh agak berapa score, kita semua sedia untuk kena paling kurang pun 0-6. Tidak mengapa, macam mana pun kita masih perlu bersedia," kata Karim Al-Maliki.
Setakat ini, skuad Sang Kenari sudah selesa berada di tangga ketiga Liga Super dengan masih memberikan tekanan kepada Selangor FC yang berada di tangga kedua.
Mereka hanya mencicirikan mata ketika aksi menentang PDRM FC dan Sri Pahang FC, yang mana menunjukkan perubahan ketara berbanding musim 2022.
Persoalannya, mampukah ketua jurulatih, Nafuzi Zain melakukan keajaiban untuk sekurang-kurangnya mengekang pasukan Selatan tanah air itu? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram