'Skrip dia kita tau dah', Harimau Kumbang laung amaran, bakal tundukkan ego JDT


  • Podium
  • Ahad, 02 Apr 2023

Penang FC berjaya menumpaskan Perak FC dalam saingan keenam Liga Super musim ini. — Facebook/Penang FC

KEMENANGAN 3-1 ke atas Perak FC pada perlawanan keenam Liga Super pada Jumaat menyaksikan pasukan Penang FC kini semakin yakin dan bersemangat dalam memburu mata untuk perlawanan akan datang.

Beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri, skuad Harimau Kumbang bermula ganas apabila membolosi gawang lawan seawal minit ke tujuh permainan.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Manzoor Azwira berjaya memperoleh kemenangan sulung selepas gagal menghasilkannya dalam enam perlawanan terdahulu dan perkara itu semestinya mahu dikekalkan untuk saingan akan datang.

Bertitik tolak daripada itu, penyokong Penang sudah mula memasang impian untuk menyaksikan kebangkitan skuad Harimau Kumbang dengan beberapa pasukan lain dijangka akan turut menerima kekalahan sama seperti skuad Seladang.

Antara pasukan yang disebut bakal menjadi sasaran seterusnya nanti ialah Johor Darul Takzim (JDT) selepas pasukan itu dilihat semakin selesa mengekalkan rekod tanpa tewas pada musim ini dengan kedudukan tangga teratas liga masih di bawah cengkamannya.

=dt

JDT masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan Liga Super musim ini. — Facebook/JDT

Tiada sifat iri hati mahupun hasad dengki terhadap kejayaan anak-anak buah Estaban Solari itu, penyokong Penang sebaliknya semakin bersemangat dan yakin pasukannya mampu memberikan saingan kepada Harimau Selatan menjelang pertemuan pada 3 Jun nanti.

"Pasukan Selatan itu tak akan ke mana pun musim ini, satu hari nanti akan jatuh tersungkur juga di tangan Penang, tunggu dan lihat sahaja," kata Fairul Salleh.

"Penang mula-mula belasah pasukan yang dekat dulu, tak mustahil akan hentam yang di Selatan itu pula, geram aku tengok dorang semakin berleluasa," ujar Syukry Hasma.

"Tunggu jela lawan JDT nanti, kalau boleh seri pun tak apa yang penting Penang semakin mengganas sekarang dan keyakinan pemain berada di tahap tertinggi," jelas Azri Marzuki.

Sebelum ini, Harimau Kumbang turut berjaya mematahkan ego pasukan Kedah FC pada perlawanan pusingan pertama Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti.

Meskipun turun selaku bukan pasukan pilihan, Kedah di bawah kendalian Nafuzi Zain gagal mengawal asakan bertali arus jentera serangan Penang dan perlawanan itu antara yang hangat diperkatakan sehingga ke hari ini.

Dalam pada itu, sesetengah penyokong mula beranggapan bahawa taktikal JDT yang tidak menurunkan dua pemain sensasi mereka dalam aksi persahabatan skuad kebangsaan menentang Hong Kong tempoh hari sebagai satu perancangan licik.

Sebelum ini, Arif Aiman dan Endrick dos Santos terpaksa disisihkan daripada kem latihan Harimau Malaya selepas disahkan mengalami kecederaan namun, kelibat kedua pemain itu mula kelihatan bersama JDT dalam perlawanan menentang Sabah FC pada Jumaat.

nem

Arif Aiman dan Endrick Dos Santos terlepas aksi persahabatan bersama Harimau Malaya ketika menentang Hong Kong akibat kecederaan. — FAM

Situasi itu sedikit sebanyak mengundang rasa kurang enak dalam kalangan penyokong Penang yang melihat ia sebagai skrip yang diatur oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan bagi memberi laluan kepada saingan liga domestik.

"Pembangunan bola sepak JDT memang tak ada siapa nafikan tetapi sumbangan untuk pasukan kebangsaan banyak yang boleh dipersoalkan, isu kecederaan misalnya, tetapi kedua-dua pemain itu sudahnya beraksi dalam perlawanan menentang Sabah.

"Skrip dia kita tau dah, padahal tak cedera pun dan pelepasan pemain mereka untuk beraksi bersama Harimau Malaya pun bukan keutamaan sangat buat JDT," jelas Arm Abdullah.

Melihat kecederaan pemain sebagai isu yang direka-reka, peminat Penang enggan terus berselindung di sebalik kejayaan pasukan JDT sebaliknya, terus melaungkan keyakinan terhadap skuad Harimau Kumbang yang diharapkan mampu membuktikan sesuatu menjelang pertemuan kedua-dua kelab itu nanti.

Dalam saingan berikutnya, Penang bakal membuat perhitungan dengan pasukan Kedah di Stadium Darul Aman pada 5 April dan semestinya tiga mata penuh dimahukan oleh penonton bagi terus membaiki kedudukan di carta Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram