HM dijemput beraksi kejuaraan Asia Selatan, fans anggap peluang ke-2 'skuad mesin' tunjuk skil


  • Podium
  • Selasa, 04 Apr 2023

Skuad kebangsaan menerima jemputan beraksi di Kejuaraan Asia Selatan pada 21 Jun hingga 3 Julai nanti. — FAM

SKUAD Harimau Malaya semakin mendapat perhatian ramai susulan kejayaan demi kejayaan dikecapi anak-anak buah Kim Pan-gon kebelakangan ini yang menyaksikan kedudukan ranking Malaysia kian melonjak naik di mana ketika ini di tangga ke-145 dunia dan dijangka lebih baik jika dikira kemenangan perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Terbaharu, pasukan negara menerima jemputan untuk beraksi di kejuaraan Asia Selatan yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Perkara itu disahkan oleh South Asian Football Federation (SAFF) baru-baru ini yang menjemput dua pasukan untuk melengkapkan kejohanan yang lazimnya akan disertai oleh enam negara dari rantau tersebut.

Malaysia dan Arab Saudi merupakan dua negara yang dijemput bagi memeriahkan lagi saingan Piala SAFF 2023 itu yang dijadual bermula pada 21 Jun hingga 3 Julai nanti.

Namun, malangnya kejuaraan tersebut tidak didaftarkan di bawah kalendar FIFA dan tiada sebarang mata akan dipungut oleh skuad negara sekiranya berjaya meraih kemenangan dalam kejuaraan berkenaan.

Meskipun menerima pelbagai komen negatif berhubung perkara itu, namun sesetengah pihak berpendapat ia medan terbaik untuk menguji barisan pemain negara.

Tidak menawarkan sebarang penambahan mata bagi kedudukan ranking negara, rata-rata penyokong seakan sudah bersedia dan menjangka barisan pemain yang bakal disenaraikan dalam kejuaraan itu kelak dengan pemilik pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pastinya tidak akan melepaskan pemainnya sekiranya ia tidak memberikan manfaat buat pasukan kebangsaan.

Hakikatnya, ia terbukti dalam Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric Cup musim lalu yang menyaksikan hampir keseluruhan skuad yang disenaraikan bukan terdiri daripada pemain kelab tersebut.

FAM

Pasukan Malaysia dianggotai beberapa muka baharu dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022. — FAM

Dalam pada itu, kejohanan Piala Asia Selatan ini pastinya menjanjikan suasana dan saingan berbeza dengan pengalaman baharu akan diraih pasukan kebangsaan sekiranya menerima jemputan tersebut.

Menganggap ia sebagai peluang kedua buat 'skuad mesin' negara mempamerkan kebangkitan, penyokong Harimau Malaya mendesak agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar pasukan negara untuk beraksi di kejuaraan tersebut.

"Luar kalendar FIFA, harap Malaysia hantar 'skuad mesin' dan buktikan kita mampu beraksi baik tanpa pemain JDT," kata Mohd Firman.

"Kalau ada mata FIFA berbaloi la juga, tapi tak mengapa, sekurang-kurangnya dapat bagi pendedahan dan pengalaman untuk skuad pelapis negara," ujar Arifin Jamal.

"Rasanya kalau luar kalendar FIFA, yang pastinya tak akan ada pemain JDT jadi saya jangkakan pemain 'skuad mesin' di Piala AFF sebelum ini yang akan beraksi dan peluang kedua buat mereka tunjukkan kemampuan," tambah Zuhair922.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini gagal melayakkan diri ke pusingan akhir pada Kejohanan AFF tahun lalu selepas tersingkir di saingan separuh akhir di tangan Thailand dengan kekalahan 0-3 dialami oleh pemain negara.

Enggan menoleh ke belakang, keputusan perit itu perlu dijadikan pengajaran dan pembakar semangat bukan sahaja buat pemain malah barisan kejurulatihan dalam merancang taktikal serta corak permainan yang lebih mantap menjelang perlawanan berikutnya nanti.

Justeru, Kejuaraan Asia Selatan merupakan destinasi dan medan uji kaji terbaik buat Pan-gon menguji beberapa lagi gandingan baharu sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Asia 2023 kelak.

Piala SAFF 2023 akan diadakan di Bengaluru, India dengan pasukan lain yang bakal menyertai saingan itu adalah India, Pakistan, Bangladesh, Nepal, Bhutan dan Maldives. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram