Bekas import disebut-sebut pulang ke Serambi Mekah, fans Kelantan FC kemuka 3 sebab perlu gantikan Rolon


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Kervens Fils Belfort merupakan import yang berpotensi untuk dibawa masuk kembali ke Kelantan FC. — Agensi

SKUAD Kelantan FC ketika ini masih buntu dalam mencari rentak terbaik selepas dua kekalahan berturut-turut dialami melihatkan pasukan itu kini di kedudukan kesepuluh Liga Super dengan hanya empat mata setakat ini.

Satu kemenangan diperoleh ketika menentang Penang FC tidak memadai buat anak-anak buah Choi Moon-sik untuk meraih kepercayaan penyokong yang semakin meragui kebolehan pasukan tersebut.

Gandingan pemain import dan tempatan yang ada ketika ini masih belum membuahkan hasil dengan jentera serangan The Red Warrior (TRW) masih buntu untuk menembusi jaring lawan.

Sentuhan 'Latin' dari bekas pemain kebangsaan B-20 Argentina, Leo Rolon yang sebelum ini hangat diperkatakan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan dengan persembahan pemain itu dikritik hebat oleh penyokong yang menganggap ia satu kerugian besar buat pasukan Kelantan.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong mula membuat perbandingan pemain itu dengan bekas import yang pernah menjulang Kelantan pada musim lepas.

Kervens Fils Belfort merupakan pemain yang dimaksudkan penyokong TRW yang mahu pemain itu dibawa masuk semula ke skuad Kelantan menjelang perpindahan kedua liga nanti.

Stigma itu dikuatkan lagi dengan perkongsian Instastory pemain tersebut baru-baru ini apabila dilihat seperti berada di Malaysia.

hak

Perkongsian dimuat naik Kervens Fils Belfort di laman Instastory menyaksikan pemain itu kini berada di Malaysia. — Instagram/Belfort

Gambar dimuat naik pada Khamis itu meraih perhatian ramai dengan rata-ratanya mula membayangkan untuk melihat kelibat pemain itu sekali lagi beraksi bersama Kelantan.

"Elok bawa masuk semula dia, gantikan dengan Leo Rolon, antara import terbaik pernah Kelantan ada sebelum ini," ujar Hafiz Rozaidi.

"Belfort ni bagus, lincah dan rajin naik turun padang bantu barisan pertahanan ketika bertahan dan berkebolehan membuat hantaran jauh yang tepat," kata Alfi Ismail.

Justeru, berikut merupakan tiga sebab mengapa Kervens Fils Belfort layak untuk menggantikan posisi Leo Rolon di Kelantan pada pertengahan musim ini:

Pengalaman di Liga Malaysia (Liga M)

Beraksi bersama Kelantan FC di Liga Perdana musim lalu, Belfort merupakan jentera serangan utama pasukan itu selepas berjaya membantu skuad itu muncul naib juara.

Pemain berketinggian 1.89 meter itu juga mempunyai kelebihan dalam perebutan bola di udara selain turut mempunyai sepakan padu dari jarak jauh yang mampu menembusi gawang lawan.

Berbanding Leo Rolon yang baru pertama kali beraksi di liga M, dilihat masih kekok dengan corak permainan di Malaysia dengan dia masih tercari-cari rentak untuk menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih Moon-sik.

Meskipun usianya sudah menjangkau 30 tahun pada tahun ini, ia sama sekali tidak menggugat kepercayaan penyokong terhadap pemain itu yang dikayakan masih berbisa dan mampu sekali lagi menjulang skuad TRW di sangan Liga Super musim ini.

Rekod pengalaman buruk

Dalam kebanyakan kelab yang pernah disertai, Rolon pernah mempunyai sejarah hitam dengan pasukan lamanya, Velez Sarsfield dan perkara itu difahamkan melibatkan isu disiplin.

Meskipun beraksi cemerlang selama lima musim bersama pasukan Velez, Rolon pernah dia tidak menghadiri perlawanan menentang skuad simpanan Rosario Central semasa sesi pramusim pada 2015.

Susulan tindakan 'missing in action' pemain berusia 28 tahun itu yang tidak memberi notis awal atas ketidakhadirannya, gaji Rolon ditahan selama tujuh hari oleh pihak pengurusan sebagai tanda penalti.

Selain ditahan gaji, pemain berketinggian 1.71 meter itu juga mendapat hukuman lain yang mana dia diminta untuk melakukan latihan sama ada bersama skuad utama mahupun simpanan.

Masih menjadi igauan penyokong Kelantan pada musim ini, pemain itu dikhuatiri akan mengulangi kesilapannya sebelum ini dan dijangkan tidak bertahan selama semusim bersama pasukan Kelantan yang sekali gus akan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa mencari import baharu untuk menggantikannya.

Kelebihan fizikal

Dari sudut kelebihan fizikal, Belfort dengan ketinggian 1.93 meter telah mengatasi Leo Rolon yang hanya berketinggian 1.71 meter.

Ia sekali gus membuktikan betapa pemain kelahiran Haiti itu jauh lebih berpotensi untuk diletakkan di bahagian serangan pasukan dengan fizikal tegap dimilki mampu menggugat barisan pertahanan lawan.

Skuad Kelantan yang ketika ini kerap kali dibolosi dengan mudah oleh jentera pasukan lawan, menyaksikan pasukan tersebut amat memerlukan seorang pemain yang mampu beraksi di dua posisi di bahagian serangan dan pertahanan tengah dengan kelebihan itu ada pada Belfort.

Justeru, penyokong TRW ketika ini amat mengharapkan agar pemain tiu dibawa masuk semula ke Kelantan menjelang jendela perpindahan kedua musin ini nanti.

Ditambah pula dengan perkongsian dimuat naik Kervens yang dilihat berada di Malaysia, telah menyemarakkan lagi semangat serta keinginan penonton yang semakin merindui kelibat pemain berkenaan.

Namun, segalanya masih belum dapat dipastikan dengan ia hanyalah spekulasi yang dicetuskan oleh penyokong sekali gus menjadi salah satu taruhan utama terhadap skuad Kelantan pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kelantan, Belfort, Leo Muron, TRW, Import Kelantan