Di sebalik Ayron makin menyengat, 2 tonggak pertahanan Selangor pula dihentam fans


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Penyerang Import Selangor, Ayron Del Valle (kiri) mula mempamerkan taring sebenar selepas meledak dua gol dalam perlawanan Liga Super menentang KL City FC.  — Facebook/SelangorFC

KEMENANGAN diraih pasukan Selangor FC dalam perlawanan menentang KL City FC dalam perlawanan keenam Liga Super pada Jumaat membawa khabar gembira buat penyokong Gergasi Merah.

Meskipun terlebih dahulu dibolosi pada minit ke-24 permainan, Selangor kemudiannya bangkit untuk mendahului dengan dua gol di hadapan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Faisal Halim dan penyerang import, Ayron Del Valle.

Bersambung di babak kedua perlawanan, Ayron sekali lagi meledak ke gawang lawan pada minit ke-54 yang sekali gus menyaksikan keputusan 3-1 kekal hingga ke wisel penamat.

Tiga mata penuh diperoleh anak-anak buah Tan Cheng Hoe meletakkan pasukan itu kini kekal di tangga ketiga liga dengan perkongsian 13 mata bersama pasukan Sabah FC.

Dua jaringan hadir daripada import kelahiran Colombia itu mendapat pujian ramai dengan rata-ratanya menyifatkan pemain itu sudah mula menemui rentak bersama Selangor.

Berani memegang bola lama dan membuat percubaan tepat ke arah pintu gol aksi yang mencuri perhatian penonton selain gandingan mantap dipamerkan bersama 'Mickey' juga antara resipi kejayaan dalam perlawanan tersebut.

Namun, kesilapan pertahanan Selangor yang membenarkan pintu gawang dibolosi oleh import sensasi KL, Tchetche Kipre melihatkan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Cheng Hoe.

Kealpaan dua benteng pertahanan, Sharul Nazeem dan Yazan Al-Arab yang gagal membuat clearance dalam serangan balas pasukan lawan, dimanfaatkan sebaik mungkin oleh bekas import Terengganu tersebut yang pantas menyambar bola muntah di hadapan gawang Selangor.

sharul

Sharul Nazeem dikatakan gagal mengawal baik benteng pertahanan Selangor ketika menentang KL City FC. — Facebook/SelangorFC

Kurang komunikasi dan kesefahaman sesama sendiri membuatkan Gergasi Merah dihukum pada awal permainan dan ia bukanlah satu perkara yang diinginkan untuk aksi akan datang.

Salah seorang penyokong Selangor, Niyaz Affendi berpendapat, Yazan sepatutnya tidak perlu menerjah sama ke arah Nazeem sebaliknya perlu terus mengawal ketat penyerang KL itu.

"Salah diri sendiri sebab terlepas gol, bola melantun terkena kaki Yazan bila dia dah kelam kabut dan kawal Kipree, memang terbuka habis kawasan tengah jadi memang sedap la Kipree rembat masuk ke gawang, kalau dia kekal jaga tengah Selangor tak kena bolos sepatutnya," ujarnya.

"Masa itu pemain hilang fokus sebab tak dapat penalti, KL pula buat serangan balas ditambah pula tak ada komunikasi antara Yazan dan Sharul, memang masalah la pertahanan kita," jelas Amirul Shafik.

"Ayron dah main bagus, tapi pertahanan kita pula bermasalah, takda komunikasi nampak gayanya dua pemain itu, bahaya kalau masih kekal dalam perlawanan seterusnya nanti," tambah Fairul Azman.

Selangor yang sepatutnya boleh menang tanpa dibolosi terpaksa bekerja keras dengan melakukan asakan demi asakan ke pintu gawang lawan sekali gus berjaya membuktikan Lembah Klang adalah di bawah jajahan Merah Kuning pada malam itu.

Tatkala Selangor meraikan kemenangan keempat mereka pada musim ini, KL City pula masih gagal mencipta sebarang kemenangan selepas enam perlawanan yang menyaksikan skuad Warga Kota itu menghuni tangga ketiga tercorot liga ketika ini.

Perlawanan menentang Negeri Sembilan FC pada 4 April nanti pastinya menjadi tumpuan peminat dengan dua tonggak pertahanan Selangor itu diharapkan segera bangkit dan perbaiki kelemahan dalam perlawanan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram