KEMENANGAN skuad Harimau Malaya ke atas pasukan Hong Kong pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Iskandar (SSI) membawa khabar berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia.
Keputusan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat menyaksikan betapa anak-anak buah Kim Pan-gon itu kini berada di landasan yang tepat bagi mempersiapkan diri untuk ke Piala Asia pada tahun ini.
Skuad kebangsaan yang kembali mendapat sentuhan pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) seperti diberikan nafas baharu apabila berjaya menembusi jaring lawan seawal minit ke 18 menerusi pemain sayap lincah, Akhyar Rashid.
Kegembiraan skuad negara bertambah apabila giliran penyerang Selangor, Faisal Halim pula mencatat nama selaku penjaring selepas rembatan padunya berjaya membolosi gawang lawan yang sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 kekal hingga ke penamat.
Dalam pada itu, aksi cemerlang ditampilkan penjaga gol Syihan Hazmi turut menerima pujian ramai selepas berjaya mempertahankan gol pasukan negara daripada dibolosi.
Syihan Hazmi beraksi cemerlang ketika perlawanan persahabatan menentang Hong Kong. — FAM
Syihan Hazmi dan Akhyar Rashid merupakan antara pemain yang beraksi dengan penuh semangat selepas kedua-duanya diberikan kepercayaan oleh Pan-gon untuk beraksi penuh 90 minit perlawanan.
Namun, di sebalik persembahan cemerlang ditampilkan, timbul pula dakwaan mengatakan kedua-dua pemain JDT itu seperti diasak dan dipergunakan sepenuhnya oleh pengendali berasal dari Korea Selatan tersebut.
Ia susulan kecederaan di bahagian kepala dialami Syihan selepas bertembung dengan penyerang Hong Kong ketika perebutan bola di udara sehingga menyebabkan pemain itu menerima balutan di kepala saat permainan hampir menuju ke penamat.
Selain itu, kecederaan dialami Akhyar Rashid juga turut mengundang seribu satu kecaman penonton yang geram akan tindakan Pan-gon kerana enggan membuat pertukaran selepas pemain itu dilihat kerap terbaring dan menerima rawatan di tengah padang.
Merupakan antara tonggak utama dalam skuad Harimau Selatan, situasi itu nyata kurang digemari oleh penyokong yang mula risau akan impak negatif bakal diterima pasukan Johor sekiranya perkara itu berlarutan.
Seorang penyokong dikenali sebagai Deen Amin berpendapat, perlawanan persahabatan sepatutnya menjadi medan untuk uji pemain dan pertukaran harus dibuat bagi memberikan peluang kepada pemain lain untuk beraksi.
"Ini perlawanan persahabatan, sepatutnya Pan-gon tukarkan penjaga gol, bagi peluang yang lain untuk bermain di peringkat antarabangsa macam ini untuk tambah pengalaman mereka, bukan asyik turunkan pemain yang sama sahaja," ujarnya.
"Apa ni, pinjam pemain JDT bayar mahal-mahal tapi cedera tak nak ditukar dengan pemain simpanan lain," kata Azmi Samur.
"Tengok Akhyar dah berapa kali kena rempuh dan terbaring tengah padang, sepatutnya dah boleh digantikan dengan pemain lain tak perlu kekalkan sampai tamat perlawanan, kalau cedera susah nanti lagi untuk pasukan JDT," tambah Ahmad Johari.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan tindakan 14 pemainnya yang menolak panggilan negara untuk beraksi di Piala AFF Mitsubishi 2022 dengan menganggap pemainnya bukanlah 'mesin' yang mampu bermain sepanjang tahun tanpa cuti.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) mempertahankan pemainnya yang menolak panggilan latihan kem Harimau Malaya sebelum ini. — Facebook/JDT
"Piala AFF adalah piala yang mengacau pemain dan jadual pertandingan.
"Manusia mana kerja tanpa cuti? Apabila liga atau pertandingan kita rehat, pemain kebangsaan tiada rehat kerana mereka ada latihan pusat selama tiga minggu," katanya di laman sosial miliknya.
Kenyataan beliau kembali mendapat perhatian penyokong yang mula faham akan tindakan serta niat yang cuba disampaikan oleh TMJ susulan kecederaan dialami oleh Syihan Hazmi pada perlawanan persahabatan tersebut.
"Ini yang TMJ risaukan, penat kelab nak kekalkan prestasi pemain tapi bila beraksi untuk negara jenis pakai lenjan sampai 90 minit dan tercedera, bila cedera kelab pula nak pulihkan pemain, beli mahal-mahal tapi bila dah dilepaskan cedera pula," ujar Shaiful Zikri Hamidon.
Tidak dinafikan, panggilan negara merupakan tanggungjawab utama setiap pemain bagi memberikan sepenuh tenaga dan keringat untuk membawa kemenangan namun, barisan kejurulatihan perlu mengutamakan fizikal serta mental pemain di atas padang supaya ia dijaga sebaik mungkin untuk aksi akan datang.
Malah, perlawanan persahabatan perlu digunakan sehabis baiknya oleh jurulatih bagi menguji setiap pemain yang dipanggil ke kem latihan sekali gus membuka lebih banyak pilihan serta pengalaman buat mereka yang dipilih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram