[VIDEO] Puasa puasa tabur paku kat lampu isyarat Batu Gajah sampai bocor tayar, polis buru pemilik Nissan Almera no plat AJK 869


  • Tular
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Tangkap layar seorang pemandu kereta jenis Nissan Almera didakwa sengaja menabur paku di atas jalan dekat Batu Gajah, Perak.

SEORANG pemandu didakwa sengaja menabur paku atas jalan raya di kawasan lampu isyarat dekat Jalan Ipoh-Lumut, Pusing, Batu Gajah, Perak pada Jumaat.

Kejadian itu yang dirakamkan menerusi kamera telefon pintar salah seorang saksi di situ, kemudiannya tular di laman Facebook selepas meraih lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.

Rakaman berdurasi 24 saat itu menyaksikan pemandu berkenaan tidak dihentikan mana-mana pihak dan terus beredar selepas melakukan kegiatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Perak, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya mengesan video tular di media sosial berhubung perkara itu pada Jumaat.

Pada masa sama, beliau juga mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian daripada pengguna jalan raya yang mengalami tayar bocor selepas melalui kawasan itu.

Katanya, susulan itu pihaknya daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perlakuan khianat.

Sehubungan itu, ujar beliau, pemilik kereta terbabit iaitu Nissan Almera bernombor pendaftaran AJK 869 sedang dikesan untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan digesa menghubungi Inspektor Siti Ramlah Abdullah selaku pegawai penyiasat jenayah di talian 016 767 6287 atau bilik gerakan (DCC) IPD Batu Gajah di talian 05-3654322 atau 05-3629050," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram