[VIDEO] Leka main telefon sambil pegang stereng, pemandu bas ekspres kena datang balai polis


  • Tular
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Tangkap layar seorang pemandu lelaki leka bermain telefon pintar semasa memegang stereng bas.

SEORANG lelaki didakwa memandu dalam keadaan bahaya apabila dirakam leka bermain telefon pintar sambil memegang stereng bas ekspres di sebuah lebuh raya dari Pulau Pinang menghala ke Ipoh, Perak pada Jumaat.

Tindakan individu berkenaan dikhuatiri boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada penumpang bas malah kepada pengguna jalan raya yang lain.

Rakaman video berdurasi 21 saat itu dikongsikan di laman Facebook dan hangat diperkatakan warganet.

Dirakamkan oleh salah seorang penumpang bas tersebut, video terbabit menerima maklum balas daripada pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang menggesa pemandu berkenaan untuk segera tampil ke balai polis untuk disiasat.

JSPT menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu, mendapati bahawa bas bernombor pendaftaran ALM 9815 milik syarikat KPB itu sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh, Perak.

Justeru, JSPT menggesa pemandu bas berkenaan agar segera menyerah diri ke balai trafik atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat akan kejadian terbabit diminta menyalurkan kepada pihak JSPT melalui pesanan di Facebook mesengger ataupun boleh hantarkan email terus ke [email protected]. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram