ISU doktor kontrak tiada kesudahannya apabila masalah itu masih berlarutan dan menjadi 'duri dalam daging' buat individu yang bekerja di sektor kesihatan kerajaan.
Berhadapan dengan isu lantikan kontrak dan bebanan kerja yang melampau, sebilangan doktor mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih gagal menampung keperluan dan kekurangan kakitangan yang bekerja di bawah sektor tersebut.
Justeru, mereka yang terkesan dikhabarkan akan membuat satu acara mogok beramai-ramai di seluruh negara pada April yang mungkin akan melibatkan seramai 8,000 doktor kontrak.
Menerusi sebuah akaun di laman sosial dikenali sebagai 'Doktor Malaysia Mogok', meminta mereka yang terkesan untuk mengambil cuti sakit dari 3 April hingga 5 April untuk sama-sama turut serta dalam demonstrasi berkenaan selain turut mengancam peletakan jawatan beramai-ramai akan dilakukan pada 1 April.
Hangat diperkatakan di laman media, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama serta cara yang lebih berhemah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan mempertimbangkan isu berkaitan doktor kontrak.
"Penganjuran mogok secara amnya boleh menyebabkan sesuatu perkhidmatan terjejas selama mana ianya dianjurkan. Lazimnya ia dianjurkan untuk menyampai mesej tertentu kepada pihak berkaitan.
"Namun, perkara ini perlu ditimbang dengan teliti. Ini memandangkan perkhidmatan kesihatan merupakan suatu perkhidmatan yang kritikal terutama kerana ia melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut berhubung isu berkenaan, seorang Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Dr Atiqah Shazwani Ahad berpendapat, perkara tersebut dilakukan bertujuan untuk membuka mata pihak kerajaan akan masalah yang membelenggu doktor ketika ini.
"Saya tak sokong tetapi kita perlu lihat perkara ini dari pelbagai sudut kerana isu ini sudah berlarutan dan saya sendiri merupakan antara yang terkesan dengan masalah doktor kontrak.
"Mogok itu hanyalah sebagai satu bentuk ancaman kepada pihak berwajib, bagaimanapun doktor masih bersikap profesional dan tak akan mengganas atau merusuh seperti yang digambarkan.
"Kerajaan perlu kurangkan tempoh penantian kontrak sebagai contoh selepas dua tahun bekerja terus diserap masuk sebagai pekerja tetap ataupun selang setahun sebagai kontrak, ada kelebihan lain dari segi elaun tambahan dan sebagainya, jadi tidaklah kami kakitangan ini terasa terbeban dengan kerja dan status yang tidak menjamin masa depan kami," ujarnya kepada Majoriti.
Ketika ditanya kesan mogok terhadap negara, Dr Atiqah berkata, ia akan mendatangkan kesan kepada dua pihak di mana doktor dan pesakit itu sendiri akan terkesan dengan isu terbabit sekiranya tiada tindakan diambil.
Menurutnya, pesakit di hospital khususnya akan berhadapan masalah sekiranya bilangan doktor yang berhenti akan bertambah akibat kesan daripada mogok tersebut.
"Pesakit makin bertambah, jadi kalau mogok itu dijalankan secara besar-besaran dan ramai doktor yang meletakkan jawatan serta merta, ia akan mendatangkan masalah lebih besar di hospital kerana akan berhadapan isu kekurangan tenaga kerja.
"Pesakit akan terabai dan kesihatan mental petugas di hospital juga akan semakin teruk dengan bebanan kerja yang melampau dan tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib," jelasnya.
Enggan menyokong mana-mana pihak, beliau mengharapkan agar ada tindakan segera diambil oleh KKM berhubung isu terbabit kerana ini bukan satu perkara remeh yang boleh dibuat main.
Desakan dan mogok yang diutarakan bakal mendatangkan imej buruk buat kakitangan kesihatan sekali gus pihak kerajaan juga akan terkesan dengan perkara tersebut sekiranya ia dibiarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram