Selangor mahu lengkapkan 9 import, tapi nama pemain warisan pula tiba-tiba kena petik


  • Podium
  • Selasa, 28 Mac 2023

Selangor FC dikhabarkan akan mengisi seorang lagi kuota import menjelang jendela perpindahan kedua musim ini. — Facebook/SelangorFC

PASUKAN Selangor FC dikhabarkan bersedia untuk membuat rombakan dalam skuadnya dengan membawa tonggak import kesembilan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula pada Julai nanti.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Johan Kamal Hamidon yang mahu terus memperkuatkan pasukannya pada musim ini.

Skuad Gergasi Merah di bawah kendalian Tan Cheng-hoe kian menunjukkan peningkatan prestasi pada saingan kali ini dengan kedudukan di tangga ke empat carta liga ketika ini menyaksikan peluang masih terbuka buat pasukan itu untuk mendaki ke puncak liga.

Justeru, Johan Kamal memaklumkan pihak pengurusan sentiasa terbuka untuk menambah baik pasukan dan hal itu akan dibincangkan dari semasa ke semasa bersama pengendali, Cheng-hoe termasuk menambah kuota import.

chen

Tan Cheng-hoe berjaya membawa peningkatan dalam skuad Selangor FC setakat ini.

Dalam pada itu, berita itu disambut baik oleh penyokong yang menyifatkan ia sebagai peluang terbaik bagi Gergasi Merah terus membuktikan sesuatu pada musim ini.

Kekalahan memalukan 0-4 kepada Johor Darul Takzim (JDT) di hadapan penyokong sendiri nyata meninggalkan impak besar bukan sahaja buat pemain malah seluruh peminat setia pasukan Selangor.

Enggan menoleh ke belakang, perkongsian Johan Kamal mengenai penambahan kuota import itu semakin mencuri perhatian, namun seorang nama pemain warisan mula dipetik oleh penyokong yang mengharapkan pemain itu dibawa masuk menjelang jendela perpindahan kedua nanti.

Wan Kuzain Wan Kamal disebut antara individu berpotensi untuk diserap masuk berdasarkan prestasi dan pengalamannya beraksi di Liga Amerika Syarikat.

Merupakan pemain warisan berdarah Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat, Wan Kuzain kini sedang menempa nama bersama pasukan baharunya di Major League Soccer (MLS) apabila menyertai pasukan ST Louis City FC pada 2021.

Meskipun hanya diturunkan sebagai pemain tengah bertahan, Wan Kuzain setakat ini berjaya menjaringkan enam gol dan mencatatkan lima bantuan gol sepanjang musim lepas.

Selangor yang dikatakan masih longlai di bahagian serangan pasukan amat memerlukan seorang pemain yang boleh beraksi di posisi tengah dan pertahanan bagi mengawal tempoh permainan sekali gus membuka peluang buat rakan sepasukan menjaringkan gol.

Kebolehan Wan Kuzain dalam merangka serangan pasukan tidak boleh dipertikaikan lagi selepas beberapa jaringannya sebelum ini terhasil daripada sepakan jarak jauh.

Gol sepakan percuma dijaringkan Wan Kuzain ketika beraksi di liga Amerika Syarikat.

Mendapat sokongan daripada penyokong, Aidil Alan berpendapat Wan Kuzain antara pemain warisan yang perlu dibawa masuk selain daripada kuota import yang diperkatakan.

"Wan Kuzain main bagus di St Louis, tak rugi kalau ambil dia pengalaman pun boleh tahan sebab beraksi di liga yang lebih kompetitif daripada kita," ujarnya.

"Ini baru betul import melayu, pemain warisan yang beraksi di luar negara lebih baik ambil dia berkhidmat di sini," kata Mohd Hafiz.

"Kena ambil pemain yang betul berkualiti, bukan hanya boleh beraksi di satu posisi sahaja, biar yang boleh menggerakkan pasukan baru boleh bersaing dengan kelab lain," tambah Faiq Hattan.

Sebelum ini, Wan Kuzain juga berpengalaman menyertai skuad Harimau Muda semasa di bawah kendalian bekas jurulatih Datuk Ong Kim Swee bagi mewakili Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2019 di Filipina sebelum digugurkan saat-saat akhir ekoran masalah dokumentasi.

Pengalamannya yang beraksi di luar negara dilihat amat bersesuaian untuk persediaan Selangor yang sudah lama menyimpan hasrat untuk beraksi di peringkat Asia satu hari nanti.

Ditambah pula dengan gandingan mantap bersama penyerang lincah Faisal Halim, Wan Kuzain juga boleh diletakkan di posisi sayap kanan bagi membentuk jentera serangan terbaik pasukan.

Tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kuota import, penyokong lebih tertarik untuk menyaksikan pemain warisan dibawa masuk dengan keputusan itu dilihat lebih menguntungkan bukan sahaja buat pasukan Selangor, malah skuad kebangsaan juga akan mempunyai lebih ramai pilihan pemain untuk diserap masuk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram