Menjelang aksi getir, ada fans Sabah ramal JDT guna taktik 'simpan' 2 tonggak HM


  • Podium
  • Isnin, 27 Mac 2023

Endrick dos Santos disahkan tercedera selepas kelibatnya tidak kelihatan di sesi latihan skuad Harimau Malaya bagi aksi pertemuan dengan pasukan Hong Kong. — FAM

KETIADAAN dua pemain Johor Darul Takzim, (JDT) Arif Aiman dan Endrick dos Santos dalam sesi latihan bersama skuad kebangsaan di Pusat Latihan JDT, Padang Mawar di Pasir Gudang terjawab apabila mereka disahkan mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon apabila terpaksa menggugurkan nama kedua pemain tersebut bagi aksi kedua persahabatan menentang Hong Kong pada Selasa ini.

Merupakan antara tonggak utama yang menyumbang kemenangan buat Harimau Malaya pada pertemuan dengan Turkmenistan sebelum ini, keputusan perlawanan berpihak kepada pasukan negara dengan jaringan 1-0 berjaya diperoleh di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.

Dalam pada itu, kecederaan dialami pemain JDT itu pastinya mendatangkan kegusaran buat penyokong yang sudah mula meletakkan sandaran terhadap mereka di samping taktikal dan kebijaksanaan Pan-gon juga amat ditagih bagi meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan berikutnya.

daren

Skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan pasukan Turkmenistan dengan keputusan 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. — FAM

Namun, sesetengah peminat bola sepak tanah air mula tampil dengan persepsi dan dakwaan tersendiri yang mengatakan ia merupakan salah satu daripada rancangan licik JDT untuk menyimpan pemain mereka.

Ia bertitik tolak daripada saingan Liga Super seterusnya nanti yang bakal menemukan skuad Harimau Selatan dan Sabah FC pada 31 Mac di stadium SSI.

Hanya dipisahkan dengan dua mata di hadapan, pasukan Sabah semestinya akan mencuba sehabis baik untuk meraih tiga mata penuh menjelang pertemuan tersebut selain anak-anak buah Esteban Solari juga dikatakan enggan pulang dengan tangan kosong.

Melihatkan kepada tentangan sengit bakal diberikan kedua-dua pasukan berkenaan, ketiadaan Endrick dos Santos dan Arif Aiman dalam sesi latihan skuad kebangsaan baru-baru ini semakin hangat diperkatakan dengan ia dianggap sebagai taktik JDT untuk meraih kemenangan ke atas Sabah.

"Cedera la pula, kita tengok berapa lama si Arif Aiman dan Endrick itu tak main, ke simpan tenaga untuk lawan Sabah nanti, selalunya dah boleh baca dah permainan JDT kalau macam ini," ujar Syed Alif.

"Ini semua alasan, biasa la simpan pemain untuk liga sebab takut kalah, kenapa tak keluarkan mana-mana pemain yang ada dalam Harimau Malaya, nampak sangat dah rancang terbaiklah JDT," jelas Bo Jol.

"Perlawanan menentang Sabah lagi penting, ini baru persahabatan jadi faham-faham la taktikal JDT ni," kata Raheem Ali.

Tidak dinafikan, latihan di bawah jurulatih Pan-gon kali ini semestinya jauh berbeza daripada yang sebelum bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada pasukan negara.

Maka, isu kecederaan seperti ini bukan satu perkara baharu dalam kalangan pemain dengan ketiadaan kedua penyerang JDT itu tidak boleh disalah erti oleh segelintir penyokong.

Seorang peminat skuad The Rhinos, Syafiq Syauqi berpendapat, pertemuan JDT dan Sabah bakal menjadi penentu dan penanda aras kualiti Liga Super musim ini.

"Sabah bukan calang-calang pasukan pada musim ini, kalau tewas dengan jaringan besar maka jelas kualiti Liga Super kita makin merudum kerana tiada tentangan mampu diberikan kepada JDT," ujarnya.

"Tak boleh pandang rendah, Sabah pun mesti tidak mahu kalah jadi JDT harus turunkan barisan terkuat mereka dan isu simpan pemain itu diharapkan tidak benar," kata Raheem Ali.

Pasukan Sabah ketika ini berjaya mengekalkan rekod tanpa tewas dalam lima perlawanan terdahulu dengan hanya satu perlawanan gagal dimenangi selepas sekadar seri 1-1 ketika menentang Sri Pahang FC.

Tiga mata penuh bakal menjadi rebutan menjelang perlawanan itu nanti dan kelibat Arif Aiman dan Endrick Dos Santos pastinya menjadi tumpuan peminat susulan dakwaan JDT 'simpan' pemain seperti yang diperkatakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram