Balai polis usang antara punca kesihatan mental polis terjejas — Persatuan Bekas Polis Malaysia


  • Massa
  • Khamis, 30 Mac 2023

Masalah tekanan mental dialami sebahagian anggota polis bukan masalah baharu. — Gambar hiasan/Bernama

TEKANAN, status kesihatan dan persekitaran tempat kerja merupakan antara tiga faktor utama menyumbang kepada kecenderungan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan masalah kesihatan mental.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Khamis susulan pertanyaan Ahli Perlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengenai langkah untuk memastikan kesihatan mental dalam kalangan anggota polis.

Menurut Saifuddin, faktor tekanan berpunca daripada kekecewaan dalam perhubungan, masalah penyesuaian di penempatan baharu, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian akibat berjauhan dengan keluarga dan masalah perkahwinan.

Ia bertitik tolak daripada laporan mengatakan anggota polis kini semakin cenderung untuk membunuh diri kebelakangan ini dengan kajian itu mula dikesan seawal 2015.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengulas lanjut berkenaan isu tekanan dihadapi kakitangan polis dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Khamis. — Bernama

Mengulas lanjut berkaitan hal tersebut, Setiausaha Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia, Mohamed Lokman Mahmud, 64, berkata, faktor yang dinyatakan merupakan antara masalah yang telah berlaku sejak sekian lama dalam kalangan petugas polis.

"Polis memang berhadapan dengan tekanan dan tiga perkara dinyatakan Saifuddin memang benar tetapi ada lagi yang penting daripada itu.

"Persekitaran tempat kerja terutamanya perlu ditambah baik dengan segera kerana suasana balai kebanyakannya terlampau suram dan tidak ditambah baik dari segi susunan dalaman selain sistem di kaunter aduan juga terlampau sibuk.

"Kalau lihat bilik pegawai penyiasat itu sendiri, ia terlampau kecil dan padat dengan segala urusan di pejabat yang sekali gus menyebabkan polis berhadapan tekanan kerja ditambah pula kes yang semakin meningkat setiap hari, membuatkan kami lebih stres dan tertekan.

"Bangunan kerajaan lain boleh diperbaharui dan diselenggara dengan baik, kenapa balai polis tidak, walhal kami beroperasi lebih dari tempoh 24 jam sehari," katanya kepada Majoriti.

Beliau yang merupakan bekas anggota polis berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada 2005 turut berkata, penempatan berek polis yang usang juga menjadi faktor mengapa ramai kakitangan polis cenderung untuk meletak jawatan.

Perkara itu secara tidak langsung mengakibatkan polis berhadapan dengan dua situasi suram bukan sahaja di pejabat malah di rumah.

"Kalau kita lihat pada penempatan berek polis yang disediakan, ia tidak diperbaharui dan diperbaiki dari sudut fasiliti dan kemudahan lain yang sepatutnya disediakan.

"Keselesaan bukan sahaja diperlukan di tempat kerja, malah di rumah juga amat memainkan peranan dalam kesihatan mental polis. Kalau rumah selesa dan ditambah baik, mungkin ada juga ruang untuk kami berehat dan tinggalkan masalah di tempat kerja.

"Paling utama di sini, adalah penambahan kakitangan polis di setiap balai kerana kes semakin bertambah dan tenaga kerja sedia ada tidak cukup untuk menampung segala bebanan kerja setiap hari," ujarnya.

Mengakhiri perbualannya, Mohamed Lokman berharap agar pihak kerajaan segera menambah baik segala kekurangan dihadapi oleh kakitangan polis ketika ini dengan keutamaan diletakkan kepada bilangan tenaga kerja yang perlu ditambah.

Dalam pada itu, Saifuddin dikhabarkan akan menjalankan beberapa ikhtiar bagi menangani masalah kesihatan mental termasuk program agama dan kaunseling, program psikologi, program peranan rakan sekerja yang dilatih untuk mengesan sekiranya terdapat anggota menunjukkan tanda-tanda tekanan dan kemurungan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram