Selepas puji fasiliti kelas dunia SSI, fans restu Mickey berhijrah ke Harimau Selatan


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Faisal Halim beraksi cemerlang ketika membantu skuad negara menumpaskan pasukan Turkmenistan pada Khamis lalu. — Instagram/Faisal Halim

PENYERANG lincah kebangsaan, Faisal Halim sentiasa mencuri tumpuan peminat dengan aksi cemerlang dipamerkan khususnya ketika menyarung jersi Harimau Malaya.

Baru sahaja selesai membuat perhitungan dengan pasukan Turkmenistan dalam aksi persahabatan pada Khamis lalu, kejayaan nyata berpihak kepada pasukan negara apabila menang dengan jaringan 1-0 hasil rembatan padu Akhyar Rashid.

Namun, di sebalik kejayaan itu penyokong masih ternanti-nanti jaringan penyerang Selangor tersebut dengan sentuhannya semakin ditagih oleh pengendali Kim Pan-gon dalam setiap perlawanan membabitkan skuad negara.

Meskipun gagal menghasilkan jaringan, persembahan bermutu tinggi tetap dipamerkan pemain kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang itu apabila kerap mengkucar-kacirkan barisan pertahanan pasukan lawan.

Menganggap ia sebagai satu peluang dan pendedahan terbaik buat dirinya, Faisal yang lebih mesra digelar 'Mickey' itu turut memuji fasiliti dan peluang dapat menjalani latihan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.

Menerusi laporan media, pemain tu gembira kerana tersenarai dalam pemilihan skuad negara selain menganggap latihan di stadium Johor telah membantu skuad negara beraksi dengan lebih baik.

“Saya gembira kerana berada dalam senarai yang dipilih ketua jurulatih untuk menjalani latihan di pusat latihan JDT.

“Di sini, kami berpeluang merasai berlatih di padang latihan dan bermain di stadium yang baik. Sudah tentu benda-benda macam ni membantu kami untuk beraksi lebih baik,” ujarnya.

latihan

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di pusat latihan tertutup JDT. — FAM

Menyifatkan barisan Harimau Malaya ketika ini merupakan skuad terbaik berbanding kejohanan Piala AFF lalu, kehadiran beberapa pemain daripada skuad Johor Darul Takzim (JDT) juga menjadikannya lebih bersemangat untuk memberikan aksi terbaik seterusnya merobek jaring lawan.

Bertitik tolak daripada itu, pujian yang dilontarkan terhadap fasiliti di stadium pasukan JDT itu nyata mengundang 1001 persoalan penyokong yang melihat ia sebagai peluang terbaik untuk Faisal diserap masuk ke Harimau Selatan musim depan.

Tidak dinafikan, 'perang mulut' antara penyokong Selangor FC dan JDT kerap kali menghiasi laman media namun, ia tidak menghalang sebarang keputusan sekiranya pemain itu berniat untuk berhijrah ke Johor suatu hari nanti.

Salah seorang peminat JDT, Awal Ewal mengalu-alukan kedatangan Mickey ke Johor pada musim depan dan menganggap tohmahan serta kecaman dilemparkan selama ini adalah adat dalam bola sepak.

"Tahun depan 'welcome to JDT', kalau ada peluang datang je Mickey sebab penyokong JDT ni terima je, setakat kecam itu biasa la, sayang bakat kau kalau disia-siakan," ujarnya.

"Kalau Faisal ke JDT pun cun juga, setakat maki itu semua dalam saingan liga je, tapi jauh sudut hati persembahan dia boleh ditambah baik lagi kalau beraksi di JDT," jelas Ahmad Fakrul.

Faisal yang beraksi di posisi sayap kiri itu terkenal dengan larian pantas serta kebolehan kawalan bola yang mampu menembusi benteng pertahanan lawan.

Aksi lincah Faisal di hadapan gawang ketika Malaysia menentang Filipina pada aksi Kumpulan J pusingan kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 23.

Gandingannya bersama Akhyar Rashid dalam perlawanan persahabatan lalu membuktikan betapa penyerang duo itu merupakan sandaran utama Pan-gon dan seluruh penyokong Harimau Malaya ketika ini.

Ia sekali gus memberi bayangan betapa pemain itu bakal memperkuatkan lagi pasukan JDT sekiranya gandingan dua pemain itu dikekalkan di bawah naungan kelab yang sama.

Ditambah pula dengan kendalian jurulatih Estaban Solari dan kemudahan bertaraf lima bintang di Stadium Sultan Ibrahim, ia pastinya satu peluang yang diimpikan setiap pemain di Malaysia.

"Sebab itu ramai pemain negara mengidam nak jadi sebahagian daripada warga JDT, fasiliti dan barisan jurulatih semuanya bagus dan serba lengkap," tambah Aiman Khuzair.

Skuad negara selepas ini akan meneruskan saingan perlawanan persahabatan menentang pasukan Hong Kong di stadium sama pada 28 Mac nanti selepas terlebih dahulu berjaya menumpaskan Turkmenistan yang berada di ranking ke 135 dunia.

Sekiranya kemenangan berterusan mampu diraih anak-anak buah Pan-gon, skuad Harimau Malaya berpeluang melonjak naik satu lagi anak tangga ke 139 dunia selepas Malaysia secara tidak rasminya berada pada ranking ke-140 dunia ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram