BERADA pada kedudukan kesembilan liga dengan hanya mencatatkan satu kemenangan, menunjukkan Terengganu FC (TFC) segera perlu membuat pembaharuan sementara menunggu perlawanan seterusnya bermula.
Mana tidaknya, hanya mencatatkan tiga kali kekekalahan dan satu seri bukan satu keputusan yang memuaskan dan ia juga membangkitkan persoalan sama ada bekas naib juara Liga Super 2022 itu mampu untuk menjadi pencabar liga musim ini.
Skuad Penyu yang kini sedang menghitung hari untuk menunggu perlawanan seterusnya menentang Kelantan United FC (KUFC) dijadual pada Jumaat ini, pasti sedang melakukan giat melakukan sesi latihan untuk mendapat kemenangan kedua mereka.
Melaksanakan sesi latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Bawah 23 tahun (B-23) iaitu TFC II antara ramuan yang dibuat pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner untuk membawa perubahan kepada pasukan itu.
Namun lain pula jadinya apabila skuad utama pasukan Hitam Putih itu tewas 0-1 di tangan TFC II pada aksi persahabatan tertutup dan keputusan perlawanan tersebut lagi mempersoalkan kemampuan anak-anak buah Steinbruckner.
Pada aksi tertutup tersebut menyaksikan Isa Raman menjadi wira buat pasukan TFC II dengan mencetak satu gol, sekali gus menewaskan anak-anak buah pengendali dari Croatia itu.
Jordan Mintah dan Adisak Kraisorn diturunkan pada aksi persahabatan itu. — Facebook/TFC
Lebih mengecewakan penyokong apabila skuad Penyu turun serba lengkap dengan tiga tonggak, manakala pasukan di bawah kendalian, Hairuddin Omar pula turun tanpa dua pemain utama kerana tugasan bersama Harimau Muda bagi saingan Piala Merlion.
"TFC I turunkan beberapa pemain import seperti Adisak, Jordan dan Argzim. TFC II pula tanpa tonggak Atiq dan Ubaidullah yang bersama Malaysia U23 di Singapura. Ia hanya perlawanan persahabatan tapi ia seperi amaran daripada jurulatih Hai-O," kata penyokong TFC, Piang Shankly.
"TFC bukan saja bermasalah dari segi corak permainan, mental jugak bermasalah. Moral dan passion tiada nampak lagi setakat ni. Nak tau juga. Situasi bilik persalinan TFC sekarang. Keharmonian pasukan. Sejauh mana," komen seorang lagi penyokong, zarRahman.
Tangkap layar laporan perlawanan persahabatan antara TFC dan TFC II.
Ada juga yang mengatakan bahawa kekalahan tersebut membuktikan bahawa Hairuddin atau lebih dikenali dengan gelaran Hai-O mempunyai lebih resipi atau strategi jika dibandingkan dengan DNA Croatia itu.
Sebelum ini, Majoriti pernah melaporkan penyokong mendesak agar pihak pengurusan menggantikan Steinbruckner dengan bekas pemain kebangsaan itu namun Hairuddin tidak mempunyai lesen kejurulatihan Pro AFC yang membenarkan dia untuk melatih pasukan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram