Pulang awal dari tugasan antarabangsa, tonggak Sabah FC mungkin 50-50 jumpa JDT 


  • Podium
  • Selasa, 28 Mac 2023

Selain Saddil bersama pasukan kebangsaan Indonesia, lima lagi pemain Sabah FC juga mendapat panggilan Harimau Malaya. — Facebook/SabahFC

31 Mac 2023 ini menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu dalam kalangan penyokong Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC kerana ia merupakan pertembungan pertama bagi dua pasukan teratas Liga Super musim ini.

Skuad The Rhinos sekali lagi memberi kejutan pada musim ini yang mana pasukan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee berada di tempat kedua di belakang pendahulu JDT, hasil lima perlawanan tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan.

Hanya dibezakan tiga mata daripada skuad Harimau Selatan, Sabah FC dengan kutipan sebanyak 13 mata itu pastinya berhasrat untuk meraih kemenangan dan menjadi pasukan pertama menewaskan JDT pada musim ini.

Bagi mencapai misi menembusi gawang JDT itu, skuad Sang Badak pastinya memerlukan khidmat tonggak utama mereka untuk beraksi menentang anak-anak buah Esteban Solari di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Namun begitu, khabar buruk berlaku di kem latihan The Rhinos apabila salah satu daripada pemain utama mereka iaitu Saddil Ramdani disahkan mengalami kecederaan dan kini berada dalam proses pemulihan.

WhatsApp Image 2023-03-28 at 14.06.11

Saddil menjalani latihan baru-baru ini untuk mendapatkan semula kecergasan. — Facebook/SabahFC

Perkara itu disahkan menerusi satu laporan berita dari media Indonesia yang menyatakan bahawa pemain sayap lincah itu terpaksa meninggalkan pasukan negaranya lebih awal dan pengendalinya, Shin Tae-yong terpaksa melupakan khidmat dalam aksi menentang Burundi pada Sabtu ini.

Memetik BolaSport.com, pemain berusia 24 tahun itu sudah meninggalkan pasukan kebangsaan Indonesia dan berada di Malaysia untuk meneruskan sesi pemulihannya bersama pasukan perubatan Sabah FC.

"Saddil mengakui mengalami kecederaan sejak mempertahankan Sabah FC menentang Sri Pahang pada 12 Mac 2023. Kecederaan itu telah pulih dan membuatkan Saddil kembali diberi kepercayaan untuk menentang Penang FC pada 17 Mac 2023.

"Tetapi dia mengalami kecederaan hamstring selepas perlawanan itu dan masih menyertai pasukan kebangsaan Indonesia," memetik BolaSport.com.

Susulan daripada keadaan Saddil itu, penyokong hanya mampu berharap agar bekas pemain skuad Tok Gajah itu segera pulih kerana semua maklum kemampuannya untuk mencetak gol diperlukan dalam aksi yang diramal getir berjumpa JDT.

Untuk rekod, Saddil sudah mencetak tiga jaringan gol dan dua hantaran bantuan selepas mengharungi lima perlawanan bersama skuad The Rhinos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram