SELEPAS mengharungi lima perlawanan, persembahan Perak FC boleh dikatakan agak suram dengan hanya mencatatkan satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan sepanjang musim Liga Super 2023.
Persembahan kurang memuaskan itu membuatkan penyokong mulai tidak mempercayai konsep ‘Trust The Process’ yang sering dikatakan oleh Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim.
Oleh itu, untuk mengembalikan semula kepercayaan penyokong kepada skuad The Bos Gaurus (TBG), barisan kejurulatihan yang diketuai Teong Kim perlu segera menjadi satu tonik untuk mengelak daripada Perak FC menjadi pasukan belasahan kelab lain.
Tonik tambahan yang diperlukan Perak FC itu nampaknya sudah diperolehi apabila kelibat pemain import, Luciano Guaycochea kini muncul pada sesi latihan skuad TBG.
Kehadiran pemain tengah menyerang dari Argentina itu memberi senyuman berharga buat penyokong yang merindui aksinya bersama Perak dan rata-ratanya menganggap Guaycochea adalah talian hayat terakhir Perak untuk mengharungi liga.
Guaycochea antara dua import Perak FC yang disambung kontrak selama dua tahun bersama Sunday Afolabi. — Facebook/PerakFC
Sebelum ini Majoriti melaporkan bahawa tonggak berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan yang memaksanya untuk berehat dan disebabkan itu juga Perak FC tidak dapat menggunakan khidmatnya dalam lima perlawanan awal liga.
“Nampak Guaycochea sudah sertai latihan dengan pasukan. Ada harapan nak tengok perlawanan seterusnya dia main,” komen penyokong Perak FC, Kamal Sharif.
“Guaycochea dah mula latihan bersama-sama itu,” kata seorang lagi penyokong TBG, Shuhail N Shakira.
Selepas lama tidak menjalani latihan, pemain berketinggian 1.78 meter membuat kemunculan jelas memberi sinar baharu buat skuad TBG terutamanya untuk menghadapi perlawanan seterusnya menentang Penang FC.
Perak FC yang akan bertandang ke laman Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya, George Town pada 31 Mac ini akan memerlukan khidmat Guaycochea untuk meraih kemenangan kedua.
Untuk rekod, skuad di bawah bimbingan Teong Kim melakar kejayaan pertama dalam saingan Liga Super 2023 dengan menundukkan Kuching City FC di Stadium Perak pada 12 Mac lalu.
Pemain import dari Korea Selatan, Seo Seonung muncul wira apabila menjaringkan gol pada minit ke-41 dan 58. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram