Terkena badi kemarau gol, fans tetap puji prestasi Mickey


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Faisal (kiri) melakukan hantaran ketika skuad Harimau Malaya menentang pasukan Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Khamis. — Bernama

KESUKARAN tonggak sayap Selangor FC, Faisal Halim untuk menjaringkan gol pada musim ini baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa masih lagi menjadi buah mulut penyokong bola sepak negara.

Malah, ada dalam kalangan penyokong yang berasakan pemain sensasi skuad Harimau Malaya itu seperti terkena 'badi' gol selepas beberapa perlawanan pada ketika ini.

Manakan tidak, dia yang lebih dikenali sebagai 'Mickey' dalam kalangan penyokong hanya merekodkan empat bantuan gol bagi membantu jentera serangan kelab Selangor FC mencabar kejuaraan Liga Super sepanjang lima perlawanan.

Di peringkat antarabangsa pula, penyerang bertubuh kecil itu diturunkan bersama skuad kebangsaan menentang Turkmenistan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, tetapi nasib masih tidak menyebelahi Faisal.

Walaupun begitu, percubaan demi percubaan pemain berasal dari Pulau Pinang untuk mencetak gol pada perlawanan tersebut sememangnya harus mendapat pujian ramai.

Turut digeruni sebagai seorang pemain licik dan mempunyai larian pantas, rata-rata penyokong berpuas hati dengan prestasi yang ditujukannya.

ISKANDAR PUTERI, 23 Mac -- Pemain Harimau Malaya Mohamad Faisal Abdul Halim diasak pemain Turkmenistan Mammedov Ybrayym (kiri), pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1, pasukan Harimau Malaya menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Faisal tetap membantu barisan serangan skuad kebangsaan untuk mendapatkan jaringan. — Bernama

Seorang penyokong, Mohd Aidil Masrun, berpendapat tiada isu sekiranya Mickey tidak menjaringkan gol kerana dia menunjukkan prestasi yang cemerlang pada perlawanan tersebut.

"Pada aku, dia (Faisal) tak jaringkan gol pun tak apa kerana gameplay dia okay, yang penting boleh main.

"Bila dapat bola tak mudah hilang, tak score lebih pada luck juga. Aku, kalau Harimau Malaya main, aku sokong sepenuh hati, tak kira pemain itu dari kelab mana.

"Bila perlawanan untuk kelab, aku sokong kelab aku Johor Darul Takzim (JDT). Simple," tulisnya

Seorang lagi penyokong, Mohd Fitri Ahmad turut memuji prestasi yang ditunjukkan Faisal.

"Pemain paling konsisten dan bersemangat dalam kesebelasan tak kira kelab atau pun negara. Faisal Halim terbaik," katanya.

Sementara itu, Farizwan Hamid berharap agar pemain meneruskan momentumnya bermain dengan baik dan mengabaikan kritikan daripada peminat.

"Ramai orang dengki dengan Mickey ini sebab nama dia semakin naik. Permainan makin berkualiti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram