Bekas protege K. Devan kini cemerlang bersama Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Rata-rata penyokong fanatik bola sepak tanah air teruja untuk melihat keempat-empat benteng pertahanan akhir itu menunjukkan 'taring' masing-masing dalam aksi perlawanan antarabangsa nanti. — Facebook/FAM

PENAMPILAN empat penjaga gawang muda dalam skuad kebangsaan semestinya memberikan nafas baharu dalam arena bola sepak negara.

Selain Syihan Hazmi, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon juga memanggil penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, Damien Lim (Sabah FC) dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan FC) dalam senarai 27 pemain ke kem latihan pusat negara.

Sehubungan itu, rata-rata penyokong fanatik bola sepak tanah air teruja untuk melihat keempat-empat benteng pertahanan akhir itu menunjukkan 'taring' masing-masing dalam aksi perlawanan antarabangsa nanti.

Namun, di sebalik pemilihan keempat-empat penjaga gol muda ini, tersimpan satu kisah tersendiri yang pastinya menarik untuk diceritakan.

Jika melihat kepada sejarah dan kelab yang pernah disertai keempat-empat penjaga gawang ini, kesemua daripada mereka pernah menabur bakti bersama pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), kecuali Kalamullah.

Malah, ketiga-tiga pemain tersebut boleh dikatakan sebagai bekas anak didik jurulatih berpengalaman yang kini mengendalikan skuad Jang, K. Devan.

308168287_498293368845829_1099553093659881320_n

Jurulatih NSFC, K. Devan. — Facebook/ NSFC

Sehubungan itu, ada dalam kalangan penyokong yang berasakan jurulatih berusia 61 tahun itu menggalas tugas yang baik dalam membentuk karier kesemua penjaga gawang berkenaan.

Musim lalu, walaupun NSFC digelar sebagai pasukan 'underdog' dalam aksi Liga Super, mereka berjaya menduduki tangga keempat dengan mengutip 41 mata dalam 22 perlawanan.

Melihat kepada kejayaan K. Devan yang mengendalikan pasukan tersebut, tidak mustahil dia mampu melahirkan ramai lagi pemain muda yang berjaya.

Kejayaannya menghasilkan pemain dan penjaga gawang yang hebat turut diakui oleh penyokong bola sepak tempatan

Maliki Jojo berkata, keempat-empat penjaga gol itu merupakan anak didik jurulatih skuad Jang.

"Semua anak buah Devan," katanya.

Aprance Friend turut bersetuju dengan pendapat Maliki.

"Produk Negeri Sembilan ini. Ah Boy (Damien Lim) dan Syihan," tulisnya

Skuad bawah Kim Pan-gon itu bakal menentang Turkmenistan pada Khamis ini sebelum berdepan Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa Kelas 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram