[VIDEO] Geng samun mini mart Bintulu kena cekup dekat lampu isyarat, Polis Sarawak bongkar ada 22 rekod jenayah


  • Tular
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Tangkap layar sekumpulan anggota polis menahan seorang suspek kes samun di Miri, Sarawak.

TULAR satu video memaparkan aksi kejar mengejar sebuah kereta terdiri daripada beberapa anggota polis yang cuba menangkap seorang penjenayah di sebuah jalan raya dekat Luak, Miri, Sarawak pada Jumaat.

Suspek yang memandu kereta berwarna merah itu dilihat memecut laju di laluan berkenaan selepas dikejar dari belakang oleh anggota terbabit.

Gagal meloloskan diri, suspek kemudiannya berjaya ditahan sebelum dikepung oleh anggota berkenaan yang bersenjatakan pistol.

Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 27 tahun itu ditahan berhubung beberapa siri kes samun bersenjata kedai pasar raya mini (mini mart) di sekitar Bintulu, Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, suspek bersama dua lagi rakannya yang masih bebas dipercayai terlibat dengan beberapa aktiviti samun.

"Kejadian terkini membabitkan suspek adalah pada 16 Mac sekitar pukul 4 pagi.

"Pihak polis kini masih mengesan dua lagi rakan suspek untuk siasatan kes.

"Kedua-dua suspek yang diburu mempunyai rekod jenayah, seorang ada sembilan ke manakala seorang lagi dengan 22 rekod kes jenayah," ujarnya dalam kenyataan.

Orang ramai dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular berkenaan dan pihak yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram