RUANG Jabatan Farmasi di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan dilaporkan terbakar sekitar pukul 4.05 petang pada Khamis.
Perkara itu disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) susulan video tular yang memaparkan kejadian kebakaran tersebut.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Harlina Abdul Rashid berkata, tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam insiden itu.
"JKNNS dengan ini mengesahkan satu kejadian kebakaran berlaku di salah sebuah ruang di Jabatan Farmasi di HTJ pukul 4.05 petang tadi.
"Pasukan keselamatan hospital dan petugas hospital bertindak pantas membantu mengawal kebakaran sementara menunggu ketibaan pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jalan Rahang berjaya memadamkan api di lokasi kejadian dengan tiada sebarang kecederaan membabitkan kakitangan dilaporkan berlaku dan siasatan terhadap punca kebakaran masih sedang dijalankan.
Dalam pada itu, kejadian tersebut turut mengundang seribu satu persoalan dalam kalangan warganet yang mempertikaikan tahap keselamatan di bangunan kerajaan ketika berada dalam situasi kebakaran.
"Pelik bangunan kerajaan takkan tak ada alat pemadam api, bila jadi macam ini semua tak tahu nak buat apa, kakitangan pekerja tak ada ke yang pernah menjalani program latihan bomba," kata blackdessert_rose.
"Alat pemadam api tak ada ke, sepatutnya terus buat apa yang patut bukannya pergi rakam nak viral di laman media sosial," ujar Roslan Mahmood.
"Ini la masalah orang Malaysia, apa-apa semua mesti nak rakam dulu walaupun nyawa dalam bahaya, nanti dah terbakar satu bangunan pun rakam dulu baru ambil tindakan," tambah Anis Farhana.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama kes kebakaran berlaku di bangunan kerajaan dengan sebelum ini, Majoriti turut melaporkan kejadian serupa di Bangunan Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Disember tahun lalu.
Kebakaran itu menyebabkan ruangan stor sisa pukal di situ dipenuhi asap tebal dan rentung dijilat api ketika kejadian.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya dalam tempoh 30 minit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram