BERJAYA mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan terdahulu, Selangor FC bakal berhadapan tugas getir menjelang pertemuan dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada 17 Mac nanti.
Kedua pasukan itu yang juga merupakan musuh tradisi sejak beberapa tahun lalu, bakal membuat perhitungan di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor dengan perebutan tiga mata penuh menjadi buruan dalam perlawanan kelima Liga Super tersebut.
Selangor yang ketika ini berada di kedudukan ketiga, berpeluang untuk merampas posisi pendahulu liga selepas hanya dipisahkan dua mata dengan JDT.
Namun, persembahan yang dipamerkan anak-anak buah Tan Cheng hoe dalam perlawanan terdahulu nyata mengundang kerisauan dalam kalangan penyokong.
Jentera serangan khususnya di posisi tengah dikatakan masih lagi rapuh dengan kawalan serta hantaran bola ke pemain di kotak penalti lawan agak kelam kabut dan gagal dikawal baik oleh sesetengah pemain.
Kerap membariskan Brendan Gan dan Noor Al-Rawabdeh dalam kesebelasan utama, jentera tengah itu dikatakan 'lambat panas' dan kurang menyengat di awal permainan dan sekali gus menyebabkan pasukan lawan mudah untuk menguasai permainan.
Dakwaan penyokong mengatakan bahawa, pergerakan bola daripada barisan tengah ke posisi penyerang agak perlahan dan rapuh dari segi kawalan bola dan kesefahaman pemain yang dilihat masih belum sempurna.
"Lorongan bola daripada pemain tengah ke serangan masih kurang memberansangkan, harap Faisal je yang rajin buat larian tapi pemain tengah tak ada yang boleh baca permainan," ujar Wan Ahmad.
"Dalam sesetengah perlawanan, kena gunakan khidmat pemain tengah macam Mukhairi Ajmal ataupun Aliff Haiqal, baru dapat gol awal dan rentak permainan pun laju,"jelas Jet Pinjaman Peribadi.
Mukhairi Ajmal
Biarpun baru berusia 21 tahun, gaya dan corak permainan Mukhairi sangat matang dan menjadi antara prospek untuk skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Merupakan nadi kepada jentera tengah skuad Gergasi Merah pada musim lalu, hantaran lintang serta sepakan sudut pemain ini kerap kali mengundang bahaya buat pasukan lawan dengan kelicikannya dalam membaca pergerakan rakan sepasukan menjadi keistimewaan buat pemain kelahiran Sungai Lembing, Pahang ini.
Mempunyai kelajuan serta kawalan bola yang kemas, kemasukan Mukhairi dalam kesebelasan utama amat ditagih penyokong dengan ia diharapkan mampu menghasilkan gol awal dalam perlawanan.
Pertahanan JDT yang dikawal rapi oleh Corbing Ong, Shawn Lowry dan Jordi Amat dilihat bakal mendatangkan kesukaran buat jentera serangan Selangor dan kelicikan yang ada pada Mukhairi diyakini mampu merobek gandingan trio itu.
Aliff Haiqal
Seorang lagi 'ubi muda' Selangor, Aliff Haiqal turut menjadi bualan hangat peminat dengan kesungguhan serta aksi cemerlang pemain itu pada musim lalu perlu diambil kira oleh Cheng hoe.
Mula diserap masuk ke skuad utama pada tahun 2021, Aliff yang sebelum ini beraksi di skuad pembangunan, Selangor II dilihat semakin matang dalam gaya permainannya selain turut rajin membantu barisan pertahanan ketika diasak pasukan lawan.
Beraksi di posisi sayap kiri, setakat ini Aliff hanya beraksi dalam satu perlawanan ketika menentang Kuching City FC sebagai pemain gantian pada minit ke 68.
Tidak dinafikan bahawa kedua-duanya masih lagi muda dan kurang pengalaman jika dibandingkan dengan pemain import lain, namun keringat serta kebolehan pelapis Selangor itu perlu diberikan peluang dalam perlawanan seterusnya nanti dengan JDT bakal berkunjung ke Stadium MBPJ.
Sesetengah pihak berpendapat, taktikal Cheng Hoe yang terlampau meletakkan harapan menggunung kepada Brendan dan Noor di awal permainan akan lebih membuahkan hasil sekiranya pemain lincah di atas disenaraikan di posisi tersebut.
Ditambah pula dengan kelajuan pemain sensasi Faisal Halim, nescaya skuad Gergasi Merah mampu memperoleh gol awal dalam perlawanan itu nanti sekali gus memberikan keyakinan kepada rakan sepasukan lain untuk terus mengasak ke kubu pertahanan JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram