KEMENANGAN 4-0 Johor Darul Takzim (JDT) ke atas Selangor FC dalam aksi kelima Liga Super pada Jumaat bukanlah suatu kejutan buat penyokong bola sepak tanah air.
Perkara itu sememangnya sudah dijangka sejak awal selepas skuad Harimau Selatan menang empat perlawanan berturut-turut sebelum ini, seterusnya menyaksikan kelab gergasi itu kekal berada di tangga teratas Liga Super.
Di sebalik kemenangan itu, tumpuan penyokong pasti diberikan kepada persembahan ditunjukkan kesebelasan utama skuad dikendalikan Esteban Solari.
Antara nama yang menjadi buah mulut dalam perlawanan itu semestinya penyerang berbisa dari Brazil, Diogo Luis Santo.
Aksi Diogo dalam perlawanan pada Jumaat. — JDT
Ini kerana ada segelintir yang mendakwa, penyokong tidak merestui kepulangannya ke JDT ketika jendela perpindahan lalu disebabkan usianya yang dianggap tua.
Namun, pemain berusia 35 tahun itu sebaliknya membuktikan bahawa umur bukanlah penghalang buatnya untuk bermain dengan baik.
Dalam perlawanan pada Jumaat, dia berjaya menyumbang salah satu daripada empat gol pada minit ke-66.
Diogo berjaya menyumbang satu gol pada Jumaat. — JDT
Bukan itu sahaja, dia sudah pun mencetak nama sebagai antara penjaring terbanyak ketika ini dengan empat gol.
Pada masa sama, suara-suara sumbang yang mengecam umur dan persembahan Diogo dipertahankan oleh penyokong tegar JDT.
Ly Stanly menulis: "Tak perlu layan ayat lalang. Diaorang tak tahu kualiti dan finishing. Diaorang ni mana tahu harga Diogo ni berapa. Payah JDT nak kekalkan harga dia, memang mahal dan bila kewangan kelab dah okay barulah kita boleh ada pemain yang berharga €1 juta sekarang ni. Contohnya macam Jordi Amat."
Aim JC berkata: "Yang buat kecoh jenis lalang fans je. TMJ dan management tahu kerja diaorang buat apa nak sibuk? Alhamdulillah dapat jalankan job dengan baik replace Bergson. Dengan jaringan assist dari dia. Pandang ke arah itu je, simple."
Tambah Syazwani Alhaji Suhaimi Aziz: "Itu fans badut. Kita jangan lupa kejayaan pemain JDT sebelum ni ada bintang baru.Jasa demi Johor membuat fans main bunga api."
Dalam perlawanan seterusnya, JDT akan bertembung dengan Sabah FC pada 31 Mac ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram