Lama menghilang, rupanya Sumareh ada tugas khas sebelum aksi JDT-Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Sumareh kini jarang mendapat minit permainan bersama JDT. — Facebook/JDT

PENDAHULU Liga Super 2022, Johor Darul Takzim (JDT) meneruskan rekod tanpa kalah dalam aksi Liga Super apabila berpesta gol membelasah Selangor FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Jumaat.

Kemenangan besar skuad Harimau Selatan di kandang The Red Giants itu juga menyaksikan JDT merupakan pasukan pertama yang memecahkan rekod tanpa kalah Tan Cheng Hoe dalam saingan Liga Super sejak dia dilantik pada September tahun lepas.

Meskipun pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan bergelut untuk mencari jaringan namun di babak kedua jentera serangan JDT mulai menunjukkan kualiti tersendiri apabila mencetak empat jaringan.

WhatsApp Image 2023-03-18 at 15.11.40

Forestieri menyumbang dua gol untuk JDT pada aksi menentang Selangor.

Kenduri gol anak-anak buah Esteban Solari bermula dengan jaringan dari Juan Muniz pada minit ke-54 dan diteruskan oleh Diogo Luis Santo pada minit ke-65.

Manakala, dua gol lagi disudahkan oleh pemain sayap, Fernando Forestieri yang meledak gol pada minit ke-75 dan ke-82.

Selepas perlawanan berkenaan, kegembiraan pastinya menyelubungi skuad Harimau Selatan yang berasakan keputusan itu sudah cukup untuk mengekalkan penguasaan mereka di persada liga.

Bagi memeriahkan lagi suasana itu, salah seorang tonggak JDT, Matt Davies berkongsi satu video yang sepertinya dirakam sebelum perlawanan getir menentang Selangor FC.

Dalam video tersebut menunjukkan Davies merakam aksi pemain naturalisasi Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh yang berlagak seperti ‘bomoh’ dengan membuat ramalan bahawa pasukan Harimau Selatan bakal menang 4-0 perlawanan berkenaan.

“Kita akan menang sekurang-kurangnya 4-0, tilikan saya berkata sebegitu,” kata Sumareh sewaktu dirakam Davies dalam rakaman video itu.

Melihat video yang dikongsi pemain kebangsaan itu, ramai penyokong terhibur dengan ‘kerja baharu’ pemain naturalisasi itu bersama JDT meskipun tidak lagi melihat aksinya di atas padang.

“Diam-diam tak main bola, rupanya Sumareh menjadi penilik nasib,” komen penyokong JDT, Geraldd.

“Peranan Sumareh bukan lagi penyerang tapi pawang,” tambah seorang lagi penyokong, Cikgu Misai. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram