FGS 2023: Pecah dominasi Singapura sasaran JDT|GBX


  • eSports
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Pemain-pemain JDT|GBX.

KEJOHANAN FIFA Global Series (FGS) 2023 akhirnya membuka tirai buat seluruh pasukan-pasukan eSukan FIFA memulakan cabaran baharu pada tahun ini.

Pasukan-pasukan eSukan yang menyertai acara FIFA di peringkat antarabangsa mahupun tempatan pasti sudah bersedia dengan kejohanan tersebut.

Begitu juga JDT|GBX Esports yang mahu mengharumkan nama negara dengan mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang memenangi kejohanan itu.

JDT|GBX menjuarai Unifi ePiala Malaysia musim lalu. Facebook/JDT|GBX

Apabila ditanya bagaimana persiapan bagi mengharungi FGS musim ini, Pengurus Pasukan JDT|GBX, Aris Danial, 24, berkata, mereka teruja dan sudah bersedia dengan pemain-pemain sedia ada.

"Bagi kejohanan FGS ini, semua pemain berada di tahap terbaik dan bersedia untuk kejohanan ini.

"Yang pasti, pengalaman bertanding di dua siri FGS yang lalu akan memberikan satu impak yang positif kepada pemain untuk terus melakar nama dan mendapatkan kedudukan yang terbaik di dalam FGS kali ini.

"Latihan intensif yang dijalankan oleh coach Aqil sejurus tamat siri FGS kedua yang lalu pastinya memberikan impak yang baik untuk para pemain bagi kejohanan kali ini.

"Selain itu, persiapan dari segi fizikal dan mental turut diberikan oleh pasukan bagi menguatkan lagi keinginan pemain untuk bergelar juara pada siri kali ini," katanya pada Majoriti.

Menurut Aris, kedudukan server yang terletak di Singapura memberikan kekurangan buat pasukan namun tidak mengambil itu sebagai halangan untuk menjuarai kejohanan.

"Cabaran utama semestinya berkaitan dengan ‘server’ yang mana server kejohanan ini terletak di Singapura yang pastinya akan memberikan sedikit kekurangan kepada pemain.

"Namun, ia bukanlah suatu yang mustahil untuk melakar sejarah dalam kejohanan kali ini," ujarnya.

JDT|GBX bakal bertemu pasukan dari Singapura dan India. Facebook/JDT|GBX

Tambahnya lagi, dia berharap JDT|GBX dapat menjadi juara untuk memecahkan dominasi dari pasukan Singapura.

"Jika dilihat dari sudut kelebihan dan keupayaan pihak lawan, sudah semestinya pemain dari Singapura dan India bakal menjadi saingan kepada pemain kita.

"Kedudukan server dan masalah lagging akan menjadi faktor utama apabila berhadapan dengan pemain dari Singapura dan India.

"Semestinya kami mahu mejadi juara dan memecahkan dominasi pemain dari Singapura.

"Selain dari itu, kami berharap pemain dapat mengumpul mata terbaik untuk memastikan kedudukan carta mereka semakin baik," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram