ISU dan mutu pengadilan Liga Malaysia terus menjadi bahan bualan sehingga ia sedikit sebanyak menyebabkan ramai penonton bola sepak tanah air terus muak dengan perkara itu.
Baru-baru ini, ia sekali lagi hangat dibincangkan selepas perlawanan antara Sabah FC dan Penang FC yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat.
Pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria menjadi tumpuan ramai apabila dia terlalu mudah menghadiahkan penalti kepada tuan rumah.
Meskipun skuad Sang Badak mendahului seawal minit ketiga, semangat pasukan pelawat untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak pernah luntur.
Namun, beberapa keputusan yang dilihat amat sukar untuk diterima menghancurkan impian anak-anak buah Chong Yee Fatt dalam usaha mereka memperbaiki kedudukan dalam liga.
Zulkarnain menjadi topik perbualan hangat peminat bola sepak tanah air. — Facebook/Penang FC
Perlawanan itu berakhir dengan keputusan 5-2 memihak kepada skuad Sang Badak yang menyaksikan mereka terus kekal memberi tekanan kepada pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT).
Kekalahan tersebut pastinya mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang dengan ia turut dirasai sebahagian besar peminat setia Sabah FC.
Malah, rasa kurang senang itu turut dikongsikan dua penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil serta Shafiq Afifi Suhaimi menerusi akaun Instagram masing-masing.
Bagi Khatul, dia yang diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama dilihat cukup berang dengan keputusan Zulkarnain yang memberikan tiga sepakan penalti kepada pihak lawan.
Shafiq (kanan) dan Khatul (tengah) jelas berang dengan keputusan tidak adil dialami pasukan mereka. — Facebook/Penang FC
"Jangan rosakkan bola sepak Malaysia. Subhan-ALLAH, kasihan dengan pemain-pemain. Sampai bila nak begini? Sebelum game, dia akan tanya pemain mana akan bermain siap tanya taktikal apa digunakan," tulisnya menerusi Insta Story selepas perlawanan.
Kekecewaan itu turut dikongsikan Shafiq yang pastinya dapat merasai kesedihan dialami rakan sepasukannya meskipun hanya menonton perlawanan dari bangku simpanan.
"Terima kasih untuk semuanya," tulis pemain berusia 23 tahun itu dengan nada sinis sambil menyertakan foto Zulkarnain dalam hantaran berkenaan.
Kekalahan berkenaan menyaksiksan pasukan Utara tanah air berkenaan masih kempunan untuk mendapatkan kemenangan pertama dengan hanya dua mata dibawa pulang setakat ini.
Bagi Sabah FC pula, kemenangan itu menyaksikan mereka hanya dibezakan dengan dua mata berbanding JDT menjelang penangguhan sementara Liga Super bagi memberi ruang kepada aksi persahabatan pasukan kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram