'Selangor hanya mampu main 60 minit', penyokong kecewa taktikal Cheng Hoe gagal sekat JDT


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Forestieri berjaya menjaringkan dua gol ketika menentang Selangor FC. — Facebook/JDT

PERLAWANAN di antara pasukan Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) ternyata menepati ramalan ramai penyokong bola sepak apabila perlawanan ini berlangsung rancak.

Ego JDT masih belum mampu dicabar mana-mana pasukan apabila menewaskan Selangor FC di halaman sendiri.

Permainan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan membalas serangan ke kawasan lawan masing-masing.

Kecemerlangan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid berjaya mematahkan segala serangan pasukan JDT yang sering kali memberi ancaman ke kubu skuad Gergasi Merah pada separuh masa pertama.

Manakala JDT pula cemerlang mematahkan serangan balas pemain Selangor yang diketuai Faisal Halim.

Diogo

Diogo diasak dua pemain Selangor FC. Facebook/JDT

Selangor dan JDT dilihat tidak berputus asa pada babak masa kedua apabila melancarkan serangan bertubi-tubi di kawasan lawan masing-masing.

Akhirnya pada minit ke-55 JDT berjaya menjaringkan gol menerusi Juan Muniz menerusi hantaran Fernando Forestieri.

JDT sekali lagi menambah derita Selangor apabila Diogo Luís Santo berjaya melepaskan rembatan deras ke dalam gawang gol tuan rumah pada minit ke-66.

JDT terus mengganas apabila menjaringkan dua gol menerusi Fernando Forestieri pada minit ke-77 dan minit ke-82.

Keputusan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT mencatakan kemenangan bersih dalam lima perlawanan.

Manakala Selangor mencatat kekalahan pertama dalam lima perlawanan liga.

Arif Aiman (kiri) ketika dicabar Fazly Mazlan (kanan). Facebook/JDT

Kekalahan tersebut nyata mengundang rasa tidak puas hati penyokong Selangor apabila mereka dilihat tidak gemar dengan corak permainan beberapa pemain di atas padang.

"Serius Cheng Hoe ajar cara passing bola yang baik, macam budak sekolah saja passing bola lambat sangat," kata Raz Ham Xs.

"Masalah utama kecergasan pemain Selangor hanya 60 minit terus hilang kawalan bola, cadangan Selangor FC perlu cari coach yang betul-betul boleh bentuk fitness pemain," jelas Osman Rusli.

"Ayron del Valle itu dah boleh fikirkan pengganti baharu nanti," ujar Oscar Zulu.

"Kadang pelik tengok Cheng Hoe ini apa dia buat pun tak tahu, yang patut keluar lain yang dia masukkan," luah TheRed Guerrilla.

Selangor kini jatuh satu anak tangga apabila duduk di tempat keempat manakala Kedah Darul Aman FC berjaya memintas skuad Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram