SRI Pahang FC berdepan kesukaran untuk mengutip mata penuh dalam aksi kelima Liga Super menentang Perak FC di Ipoh, Perak pada Khamis, selepas beberapa pemain utama dijangka tersisih akibat masalah kecederaan.
Memetik laporan media tempatan, pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad mengesahkan bahawa kecederaan itu membabitkan tenaga import, Kpah Sherman dan pemain kebangsaan, Nor Azam Azih.
Azam Azih (kiri) antara yang mengalami kecederaan ketika ini. — Facebook Sri Pahang FC
Ini menyebabkan skuad itu kekurangan penyerang dengan hanya pemain skuad kebangsaan, David Rowley boleh beraksi dalam jentera serangan pasukan.
Selain itu, turut dilapor mengalami kecederaan termasuk Sergio Aguero.
Perkara tersebut menyebabkan kebimbangan rata-rata penyokong Tok Gajah akan kesudahan perlawanan menentang Perak.
Muhd Makri Muhammad Yusof berkata, ini seterusnya menyaksikan bahagian serangan Pahang menjadi tidak berfungsi.
"Berdasarkan kepada perlawanan sebelum ini pun, dengan adanya pemain tersebut bahagian serangan tidak begitu menyerlah. Malah, di posisi pertahanan pun agak membimbangkan," tulisnya di laman Facebook.
Aksi Kpah (tengah) dan pemain Sri Pahang FC ketika menentang Sabah FC baru-baru ini. — Facebook Sri Pahang FC
Justeru, katanya, terpulang kepada Fandi Ahmad untuk menyusun strategi dan taktikal skuadnya bagi mengekang kemaraan Perak FC.
"Pada pandangan saya, game pada malam ini (Khamis) memang sukar untuk Sri Pahang menang. Sekurang-kurangnya kalau boleh dapat keputusan seri pun sudah dikira baik," tambahnya.
Ini adalah pertemuan kedua buat kedua-dua pasukan di Stadium Perak.
Pada 8 Mac lalu, skuad bimbingan Fandi berjaya menewaskan anak buah Datuk Lim Teong Kim 2-1 pada saingan pusingan pertama Piala FA.
Ketika ini, Pahang berada di tangga keempat Liga Super apabila berjaya mengutip enam mata, serta menang satu daripada empat perlawanan.
Sementara itu, Perak berada tangga kelima selepas mengutip lima mata, selain menang satu daripada empat perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram