Sambung taring di Colombia, bekas mesin gol Sri Pahang mula dirindui


  • Podium
  • Rabu, 15 Mac 2023

Rodriguez merekodkan 12 jaringan dalam 16 perlawanan dia diturunkan sepanjang di Liga M. — Instagram/Titi

KELUAR masuk pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) merupakan perkara biasa dan ada di antara bintang yang berhijrah ke pasukan lain adalah tonggak berbisa serta kegemaran penyokong.

Seperti situasi yang berlaku dalam kalangan penyokong Sri Pahang, mereka mula merindui peledak musim 2022 iaitu Steven Rodriguez lagi-lagi selepas melihat pemain kelahiran Colombia itu semakin mencipta nama di negara kelahirannya.

Rodriguez ataupun lebih dikenali sebagai Titi Rodriguez merupakan antara pemain terbaik Tok Gajah pada musim lepas dan dia sering menjadi ancaman apabila sepakannya sering menembusi gawang pasukan lawan.

Walaupun bersama Sri Pahang untuk tempoh yang agak singkat namun impak pemain berusia 24 itu sangat berkesan terutamanya dalam menyelamatkan Tok Gajah daripada menduduki tangga tercorot.

Rodriguez yang mula menyarung jersi Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua musim lepas berhasil merekodkan 12 jaringan dalam 16 perlawanan dia diturunkan sepanjang di Liga M.

WhatsApp Image 2023-03-15 at 14.58.04

Independiente Medellin meminjamkan Rodriguez kepada Sri Pahang bagi musim 2022. — Instagram/Titi

Ketajaman Titi di hadapan gawang tidak berhenti di Liga M apabila dia terus menampilkan aksi cemerlang di Liga Dimayor 1 Colombia bersama pasukan baharunya, Alianza Petrol.

Beraksi sebagai pemain pinjaman dengan Alianza Petrol tidak menghalang Titi untuk menjadi tonggak utama pasukan itu dengan merekodkan dua jaringan sepanjang enam perlawanan dia diturunkan.

Malah, bekas mesin gol Sri Pahang itu juga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas jaringan Titi menyelamatkan pasukannya untuk berkongsi mata dengan La Equidad.

Melihat kepada perkembangan positif Titi itu, penyokong Tok Gajah mula merindui kelincahan pemain berketinggian 1.77 meter tersebut dan berharap agar dia dapat membantu Sri Pahang pada musim ini.

Selepas mengharungi empat aksi dalam Liga Super, Sri Pahang hanya mencatatkan satu kemenangan sewaktu menentang Kelantan FC dan selebihnya merekodkan seri.

Selepas ini, Sri Pahang akan menjadi tetamu Perak FC di Stadium Ipoh bagi aksi kelima Liga Super pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram