'Gotta get that', Saddil dan Badd kongsi mesej rahsia sebelum jumpa Penang FC


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Penyokong rata-ratanya berharap dapat melihat gandingan antara Saddil dan Baddrol dalam aksi Liga Super menentang Penang FC pada Jumaat. — Facebook/PenangFC

KEGAGALAN untuk mengutip mata penuh pada perlawanan Ahad lalu sewaktu menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan memberikan motivasi kepada skuad The Rhinos akan bermain habis-habisan bagi mendapat tiga mata penuh dalam aksi Liga Super seterusnya selepas ini.

Selain terpaksa menerima keputusan seri 1-1 dengan skuad Tok Gajah, kelab berpangkalan di Borneo itu juga terpalit dengan beberapa insiden kontroversi sehingga pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dilayangkan kad merah oleh pihak pengadil.

Oleh itu, bagi mengembalikan rentak kemenangan dan kembali menjadi pencabar terbesar Johor Darul Takzim (JDT), Sabah FC pastinya bernafsu besar untuk menewaskan skuad Harimau Kumbang pada Jumaat ini.

Kedatangan pasukan dengan slogan Haria Penang Haria itu di Stadium Likas bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh penyokong The Rhinos, malah dua pemain utama Sabah FC, Saddil Ramdani dan Baddrol Bakhtiar juga berkongsi mesej khas buat Harimau Kumbang.

WhatsApp Image 2023-03-15 at 22.04.01

Tangkap layar Insta Story Saddil. — Facebook/PenangFC

Menerusi perkongsian di laman Insta Story Saddil, pemain kebangsaan Indonesia itu memuat naik semula gambarnya bersama Baddrol sambil menyertakan lagu Boom Boom yang dinyanyikan oleh kumpulan antarabangsa, Black Eyed Peas.

Bait-bait lirik lagu yang berbunyi 'gotta get that' seperti membawa maksud Saddil dan pemain berpengalaman Liga Malaysia itu mahu mendapatkan tiga mata kemenangan menentang anak-anak buah Chong Yee Fatt.

Selain daripada hantaran di Insta Story tersebut, hubungan rapat antara Saddil dan legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC itu juga dapat dilihat ketika sesi latihan pasukan The Rhinos.

WhatsApp Image 2023-03-15 at 22.01.16

Gambar yang memaparkan kemesraan antara Baddrol dan Saddil. — Facebook/PenangFC

Beberapa keping gambar yang menunjukkan kemesraan antara pemain berusia 24 tahun itu dengan Baddrol sudah cukup meyakinkan penyokong The Rhinos bahawa kedua-duanya bakal menjadi senjata rahsia dalam aksi kelima Sabah FC.

Khidmat Baddrol pasti ditunggu-tunggu oleh penyokong Sang Badak berikutan dalam empat perlawanan sebelum ini, dia jarang menjadi kesebelasan utama dan hanya mengumpul kurang dari 45 minit permainan.

Pada musim lepas sewaktu bertemu Penang FC, Baddrol juga menjadi antara wira Sabah FC apabila menjaring tiga gol dalam dua perlawanan yang mana satu jaringan dihasilkan di Stadium Likas dan dua lagi di Stadium Bandaraya.

Berdasarkan rekod, Sabah FC kini menghuni di tangga kedua liga dengan mengutip sepuluh manakala skuad Harimau Kumbang menduduki tangga kesebelas dengan mengumpul dua mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram