BEKAS pemain pertahanan Sabah FC, Badrul Afendy Fadzli menjadi buah mulut dalam kalangan penyokong skuad Sang Badak selepas mempamerkan sisi yang berbeza sejak menyarung jersi Kuching City FC ketika jendela perpindahan lalu.
Anak jati Penampang, Sabah itu terpaksa mengambil keputusan meninggalkan pasukan di tangga ketiga Liga Super 2022 itu selepas kehadirannya seakan-akan tidak disedari pihak kejurulatihan.
Jadi, dengan skuad The Cats baru sahaja menempatkan diri dalam divisyen teratas bola sepak tanah air, kemasukannya jelas diharapkan dapat membantu meningkatkan kemampuan benteng pertahanan pasukan.
Selepas hanya memanaskan bangku simpanan ketika perlawanan pertama, ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim memilih untuk memasukkannya ketika perlawanan kedua Liga Super menentang Selangor FC.
Meskipun hanya beraksi 23 minit, Badrul mempamerkan skil dengan baik, sekali gus diberi kepercayaan penuh bagi diletakkan dalam kesebelasan utama menentang majikan lamanya, Sabah FC.
Pemain berusia 29 tahun itu dikatakan tidak mengecewakan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Sarawak apabila dia mudah membaca gerakan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.
Badrul Afendy Fadzli. — Facebook
Kehadirannya itu juga difahamkan merupakan antara sebab penyerang skuad Sang Badak, Darren Lok sukar untuk bergerak di hadapan pintu gawang Kuching City FC yang mana dia sekali lagi kecewa apabila pulang tanpa sebarang jaringan.
Walaupun tewas 1-2 pada akhir perlawanan, rata-rata penyokong di media sosial cukup berpuas hati dengan kemampuan yang dipamerkan Badrul sepanjang keberadaannya di atas padang.
Lebih menarik lagi, pujian juga diberikan daripada segelintir peminat setia Sabah FC yang masih sempat menyatakan kegembiraan terhadap kemampuan serta peningkatan dipamerkan bek tengah bertubuh sasa itu.
Seorang pengguna media sosial, Jimmy Santaim berkata, Badrul mula menunjukkan prestasi sebenar ketika bersama skuad The Cats.
"Masa main dengan Sabah FC kurang perform Badrul. Mungkin sebab kurang minit perlawanan tetapi ketika perlawanan menentang Sabah FC memang hebat dia main," katanya.
E-Lon Guadeh meninggalkan kata pujian pada Badrul yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.
"Badrol bermain dengan semangat lencana di dada. Tiada kompromi untuk kelab lama (Sabah FC) pada musim lalu,"tulisnya.
Seorang lagi penyokong, Jesse James berasakan pihak pengurusan Sabah FC melepaskan seorang pemain pertahanan yang berpotensi tinggi.
"Sayang betul dilepaskan, nampak potensi sebenar dia bersama Kuching City FC. Kalau lihat cara dia defend pasukan itu memang susah nak bolos," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram