KEMENANGAN 7-0 yang dilakar kelab Johor Darul Takzim (JDT) ke atas Negeri Sembilan FC dalam perlawanan ketiga Liga Super pada Isnin seakan-akan memberikan isyarat buat semua pihak betapa skuad Harimau Selatan bakal sekali lagi mengganas pada musim ini.
Keputusan itu seolah-olah memberi laungan dan amaran untuk saingan seterusnya nanti dengan ia pasti mengundang ketakutan buat pasukan lawan.
Bakal melayan kunjungan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 11 Mac nanti, kemenangan berterusan pastinya ditagih oleh penyokong yang mahu menyaksikan JDT terus mengekalkan penguasaan di carta liga sehingga ke penamat musim.
Namun, sesetengah pihak khususnya penyokong Kelantan mula mempertikaikan kemenangan diraih JDT dalam perlawanan di Stadium Paroi, Negeri Sembilan lalu dengan mendakwa jaringan sebesar itu hanya mampu dijelmakan dengan kehadiran pemain import.
JDT yang hanya menurunkan dua pemain tempatan dalam kesebelasan utama perlawanan itu dikatakan terlampau bergantung kepada pemain import dan naturalisasi berbanding pemain tempatan lain yang lebih layak diberikan peluang.
Justeru, beberapa individu mula menghentam pasukan itu dengan beberapa teguran sinis yang mengatakan jurulatihnya, Esteban Solari seolah-olah gentar untuk menaruhkan pemain tempatan.
"Sampai bila-bila pemain tempatan tak akan dapat tempat, asyik khidmat naturalisasi dan import sahaja yang diturunkan, memang la boleh menang besar," Idham Mahmood.
"Masalah melayu adalah berfikiran negatif, Arif Aiman, Shahrul Saad, Afiq, Ramadhan Saifullah boleh je main skuad utama, kalau nak pasukan itu bagus kena la bersaing, kalau takut tak ke mana la taraf permainan," ujar Leo Nacho.
"Import sahaja sudah sembilan orang dia turunkan, dua sahaja pemain tempatan, kalau kita menang malu besar la dia," tambah Fadhli Adnan.
JDT yang sememangnya dibarisi ramai pemain naturalisasi dan import pada musim ini menyaksikan saingan besar berlaku dalam kalangan pemain tempatan dengan hanya yang terbaik sesama mereka saja akan diturunkan dalam kesebelasan utama.
JDT hanya menyenaraikan dua pemain tempatan dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC pada Isnin. — Facebook/JohorSouthernTigers
Kelantan FC pula yang setakat ini hanya memperoleh satu kemenangan dalam tiga perlawanan dilihat masih bergelut untuk mendapatkan rentak permainan dengan jentera serangan pasukan itu juga dikatakan masih lagi ampuh dengan tindakan penyudah tumpul pemain importnya.
Menjelang aksi menentang JDT, penyokong The Red Warrior (TRW) sudah mula meramalkan keputusan yang bakal diperoleh nanti, namun rata-ratanya masih menaruh harapan terhadap skuad kendalian Choi Moon-sik dengan sekurang-kurangnya satu mata berjaya dicuri dalam perlawanan tersebut.
"Paling teruk pun biar lah keputusan seri, jangan tewas apatah lagi dengan jaringan yang besar," kata Shahrul Azam.
"Jangan pecah rekod Negeri Sembilan, biar kita seri pun tak apa sekurang-kurangnya masih ada dapat satu mata, lawan tetap lawan," tambah Joe Johari.
Pantang berundur sebelum berjuang, Kelantan FC semestinya enggan berputih mata dalam perlawanan menentang Harimau Selatan selain penyokong TRW juga dilihat seakan mahu mencabar ego Solari dengan menggesanya untuk menurunkan lebih ramai pemain tempatan dalam perlawanan itu nanti.
Adakah benar dakwaan penyokong Kelantan bahawa kemenangan JDT hanya bernasib baik kerana menurunkan import dalam kesebelasan utama? Segalanya bakal terjawab menjelang pertemuan dua pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram