Anak jati Perak punca TBG tersungkur saingan Piala FA di laman sendiri


  • Podium
  • Rabu, 08 Mac 2023

Perak FC tersingkir dalam saingan Piala FA selepas ditundukkan Sri Pahang FC dengan kekalahan 2-1.

SELEPAS mengharungi detik getir dalam tiga perlawanan terdahulu di saingan Liga Super, Perak FC sekali lagi terpaksa berputih mata apabila tewas kepada pasukan Sri Pahang FC dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan Piala FA.

Kekalahan itu menyaksikan anak-anak buah Lim Teong Kim terpaksa menanggung malu di hadapan penyokong sendiri dengan penyingkiran di pusingan pertama.

Meskipun mendahului pada minit ke-34, jaringan penyerang import Christian Obiozor berjaya meletakkan skuad Seladang di hadapan sehingga ke wisel separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua perlawanan, asakan bertali arus skuad Tok Gajah dilihat semakin mengganas dengan beberapa percubaan bahaya mula menguji benteng pertahanan Perak.

Gol penyamaan yang dicari-cari berjaya dihasilkan pada minit ke-82 menerusi ledakan padu Malek Ariff di hadapan pintu gol yang sekali gus mengundang situasi getir buat anak-anak buah Teong Kim.

Lebih mengundang parah apabila pemain pertahanan Fadhil Idris dilayangkan kad kuning kedua yang memaksa dia untuk keluar padang meninggalkan 10 rakan sepasukannya.

Gagal beraksi baik di separuh masa kedua, Pahang dihadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan perlawanan dengan Stefano Brundo berjaya menyempurnakan peluang tersebut.

Kekalahan ini nyata mengundang 1001 kecaman terhadap pemain kelahiran Perak itu apabila namanya hangat diperkatakan di laman Facebook.

"Dia ni memang banyak buat hal dalam perlawanan, main tak kasar tak sah, semua nak ditibai bila dan kena kad merah menyusahkan pasukan," ujar Nazreen Adi.

"Nampak sangat takda semangat kesukanan tinggi, kalau betul ada disiplin dia lebih berjaga-jaga bila dah penghujung masa, ini lagi tambah masalah sudahnya Perak gagal walaupun dah di hadapan,"kata Amir Arif.

"Rugi je separuh masa pertama dah main cantik, bila separuh masa kedua semua dah kelam kabut, pulak anak Jati Perak yang buat hal, lagi la sakit hati tengok permainan malam ni," tambah Zuhairi Haziq.

Teong Kim yang sebelum ini pernah menjadikan faktor padang tidak rata sebagai alasan, sekali gus membuktikan bahawa perkara itu bukan penghalang terbesar dalam skuadnya.

Meskipun kekalahan ini satu perkara pahit yang terpaksa ditelan penyokong Perak, diharap Teong Kim kembali bersemangat untuk meneruskan perlawanan Liga Super pada saingan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram