'Kalau dah lambakan kenapa perlu import?' jawapan isu cili undang kecaman ramai


  • Massa
  • Rabu, 08 Mac 2023

Tanaman cili di Malaysia dikatakan gagal membawa pulangan modal buat golongan petani. — Gambar hiasan

NASIB pekebun dan petani di Malaysia kian terjejas dengan golongan itu dikatakan gagal memperoleh keuntungan daripada hasil pertanian yang dijual.

Ia bertitik tolak daripada isu lambakan hasil pertanian yang berlaku dalam negara dan sekali gus mengakibatkan jualan di pasaran tidak membawa pulangan kepada petani.

Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, pengasas Grasicili, Munir Ashim Abdullah berpendapat pasaran import di Malaysia masih di kadar rendah selain sikap segelintir petani yang dilihat terlampau ghairah dalam bercucuk tanam menjadi punca permasalahan itu.

Menurutnya dalam satu temu bual bersama Awani, beliau menjelaskan kebanyakan petani masa kini seolah-olah tiada perancangan dalam menjalankan kerja-kerja pertanian.

"Sesetengah individu yang mungkin baru pulang daripada menghadiri kursus pertanian terus bertindak tanpa membuat kaji selidik tentang nilai pasaran semasa.

"Kemudian terus keluarkan duit daripada akaun bank dan tanam lima ekar, bila sudah berbuah mereka hubungi Jabatan Pertanian minta untuk dipasarkan.

"Yang saya kesiankan bila Jabatan Pertanian kena hentam, kenapa import cili, kenapa bawa masuk banyak sangat cili sebab orang ramai terlalu minat untuk menanam cili sudahnya jadi isu lambakan," ujarnya.

Di samping ketiadaan pembekal dan sistem jualan yang teratur, isu lambakan tanaman cili misalnya gagal mendatangkan hasil dan pulangan modal buat golongan petani yang kerap kali meluahkan masalah itu di laman media.

Namun, penjelasan Munir mendapat kritikan ramai warganet dengan sebahagiannya berpendapat, kegiatan mengimport hasil tanaman dari luar negara perlu dikurangkan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

King_oneofficial berkata, hasil tanaman yang diimport ke dalam negara perlu dikawal dan diketengahkan dalam pasaran negara.

"Bukan tiada nilai pasaran, tetapi kadar import dari luar negara perlu dikawal dengan tanaman cili antara faktor utama perlu diketengahkan, tiada istilah lambakan ataupun tidak," ujarnya.

"Import luar banyak sangat memang la jatuh harga pasaran tempatan, cuba wajibkan syarikat besar ambil dalam negara punya hasil dulu," kata MrMama.

"Kalau lambakan sayur tempatan, kenapa perlu import lagi dari luar negara?" soal Pakcik AY.

"Lambakan sekarang semuanya berpunca daripada hasil tanaman yang diimport, sepatutnya promosikan tanaman Malaysia, bukan terus bawa masuk sayur luar negara memang la tiada harga dalam pasaran, kerajaan kena bimbing golongan petani untuk majukan jualan bukan terus bantu bawa hasil dari luar negara," tambah Joebidin.

Susulan itu, rata-rata rakyat Malaysia kurang berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan pengasas produk pertanian itu dengan kadar import dari luar negara dijadikan antara punca utama dalam isu berkenaan.

Justeru, pihak kerajaan digesa untuk mengadakan tinjauan dan kajian selidik berhubung perkara ini dengan sistem jualan serta jumlah kemasukan tanaman import juga perlu dikawal bagi memberi peluang buat hasil tempatan meraih pendapatan sekali gus mengurangkan isu lambakan yang berbangkit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram