'Cheng Hoe pun geleng kepala', 'striker' muda semput mula dibayangi kelibat Eky


  • Podium
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Selangor FC berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Kuching City FC. — Facebook/SelangorFC

AKSI cemerlang yang dipamerkan pasukan Selangor FC dalam perlawanan menentang Kuching City FC pada Khamis membuahkan hasil apabila berjaya menang dengan keputusan 5-0.

Skuad Gergasi Merah yang turun dengan formasi 4-3-3, bermula garang dengan melancarkan serangan bertali arus sehingga berhasil membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Noor Al Deen Mahmoud Ali dari Jordan pada minit keempat perlawanan.

Selang lima minit kemudian, giliran penyerang import Ayron Del Valle Rodriguez pula untuk menembusi gawang lawan selepas berjaya menyempurnakan hantaran cantik kapten pasukan Brendan Gan dari kiri padang.

Bersambung di babak separuh masa kedua perlawanan, tiga lagi gol hadir menerusi Noor Al Deen, Brendan Gan dan Ahmad Danial yang sekali gus menutup saingan aksi kedua liga dengan cukup cemerlang di tempat lawan.

Dalam pada itu, kemenangan itu dilihat masih mempunyai kelemahan dari beberapa aspek khususnya pemain yang dikenal pasti kurang menyerlah di atas padang.

Penyerang muda berusia 19 tahun, Izwan Yuslan antara yang hangat diperkatakan penyokong dengan kemasukan pemain itu pada separuh masa kedua melihatkan rentak permainan sedikit perlahan di bahagian serangan.

izz

Izwan Yuslan merupakan antara penyerang muda yang dimiliki skuad Selangor bagi musim 2023. — Facebook/SelangorFC

Malah ada penyokong mula mempertikaikan kebolehan pemain itu yang dikatakan masih jauh ketinggalan berbanding rakan sepasukannya.

"Rambut dah berwarna, gaya main masih menggelupur sama macam musim lepas, Cheng hoe pun geleng kepala macam ni," kata Manz Ziel.

"Semua pemain sudah bermain dengan baik kecuali Izwan tu, masuk sebagai pemain gantian tapi dia pula yang mengah," ujar Shah Hadi.

Dalam pada itu, ada pihak mula membayangkan kelibat pemain itu seakan-akan sama seperti bekas penyerang Selangor, Shahrel Fikri yang dilihat mempunyai gaya dan corak permainan yang hampir serupa dengannya.

Untuk rekod, Shahrel atau lebih mesra disapa 'Eky' sebelum ini pernah berada di puncak kariernya apabila memenangi anugerah Penyerang Terbaik 2020 pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK20) ketika bersama Perak FC.

Namun, penghijrahannya ke Selangor pada tahun berikutnya dilihat semakin kurang menyerlah dengan gaya permainan serta tindakan penyudah pemain itu kian tumpul di hadapan gawang.

eky

Shahrel Fikri sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Selangor sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan — Facebook/SelangorFC

Antara faktor mengapa Izwan disamakan dengan bekas penyerang Selangor itu adalah, kedua-duanya memiliki struktur fizikal yang hampir serupa dengan berbadan tegap dan berketinggian melebihi 1.75 meter.

Selain daripada fizikal tubuh badan, Izwan juga mempunyai kelicikan tersendiri dengan kawalan bola yang agak kemas namun kelemahannya terserlah apabila mudah hilang bola ketika diasak pemain lawan.

Gopoh dan tumpul dalam membuat percubaan ke arah pintu gol, kelibat pemain itu dalam perlawanan tempoh hari saling tidak tumpah seperti Shahrel Fikri yang sebelum ini juga bergelut dalam mencatat nama selaku penjaring.

Beberapa penyokong turut bersetuju dengan kenyataan itu dengan segelintir daripadanya enggan hadir ke stadium sekiranya Izwan masih disenaraikan dalam perlawanan seterusnya.

"Setuju, benci betul aku kalau dia masih disenaraikan lagi dalam perlawanan malas aku nak turun stadium, main teruk sangat," ujar Sarjen Todak.

Pendapat itu sekali gus melihatkan betapa penyokong mula mengenal pasti pemain yang kurang berpotensi untuk disenaraikan dalam perlawanan seterusnya menentang Sri Pahang FC pada Ahad nanti.

Aksi seterusnya semestinya bakal menjadi tumpuan peminat dengan pasukan Pahang dipercayai merupakan lawan sebenar skuad Gergasi Merah dan perkara itu turut diakui Cheng hoe yang engan mendabik dada dengan kemenangan diraih di Sarawak.

Soal siapa yang bakal diturunkan, ia masih menjadi tanda tanya ramai dengan semestinya peluang dan pendedahan lebih perlu diberikan terhadap barisan pemain lain termasuklah Izwan Yuslan yang masih lagi baharu dalam kancah Liga Super Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram