UMUM mengetahui bahawa taman permainan merupakan kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan ramai khususnya golongan kanak-kanak yang gemar bermain di situ.
Namun, sikap segelintir masyarakat yang mementingkan diri dan melakukan pencemaran terhadap fasiliti di kawasan tersebut kerap kali mengundang perhatian ramai.
Permainan gelongsor dan buai yang dikhususkan untuk golongan kanak-kanak kini dilihat semakin dicemari dengan kehadiran haiwan anjing.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi kejadian yang berlaku di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, Melaka pada Rabu apabila seorang wanita tua didakwa sengaja melepaskan anjing peliharaannya di sebuah taman permainan.
Lebih menyedihkan, haiwan tersebut dilihat berulang kali menaiki gelongsor di taman berkenaan.
Terkesan dengan perkara itu, seorang pemuda dipercayai salah seorang penduduk di kawasan perumahan itu lantas memberikan teguran kepada individu terbabit.
Enggan mengalah ketika disoal, wanita berkenaan kemudiannya menyatakan bahawa kawasan tersebut tidak dimiliki oleh mana-mana pihak sambil terus membiarkan tiga ekor anjing peliharaannya bermain di situ.
Beberapa individu di warganet turut mengecam situasi tersebut.
"Kawasan itu memang komuniti Melayu ramai jadi kanak-kanak Islam antara yang selalu beraktiviti di taman tersebut, sepatutnya mana boleh dibiarkan anjing yang main di gelongsor," kata Ming Aqmar Rahiadin.
"Tak pasal-pasal budak kena samak lepas main, taman permainan untuk manusia bukan untuk haiwan peliharaan apatah lagi anjing," ujar Salmi009.
"Jangan dibiarkan perbuatan macam ini, kalau tak nanti dah terbiasa dan semakin tercemar kawasan rekreasi anak-anak kita, sepatutnya kena la bersikap toleransi juga dengan agama lain, itu kan tempat awam," tambah Mohd Hafeez Ruzaid.
Sehubungan dengan itu, mana-mana individu yang terkesan dengan perkara berkenaan diminta untuk tampil membuat aduan ke pihak berwajib agar tindakan segera dapat diambil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram