Hospital Umum Sarawak makin sesak, rakyat rayu minta hospital baharu


  • Massa
  • Khamis, 23 Feb 2023

Notis makluman yang dikongsikan oleh orang awam berkenaan Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak. — Facebook

MASALAH kekurangan fasiliti kesihatan dan pakar perubatan bukanlah perkara baharu yang dibangkitkan di Sarawak. Saban tahun, isu tersebut menjadi topik hangat yang diperbincangkan dalam kalangan rakyat dan ahli politik.

Hal ini kerana kebanyakan 'projek sakit' Persekutuan di Sabah dan Sarawak membabitkan pembinaan hospital serta klinik kesihatan yang gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Pada masa sama, negeri itu dilihat memerlukan tambahan hospital dan klinik kesihatan memandangkan pertambahan penduduk serta banyak hospital dan klinik kesihatan yang ada tidak dapat menampung jumlah pesakit yang bertambah.

Terbaharu, seorang pengguna media sosial melalui halaman Facebook Sarawak Roads Update berkongsi satu gambar notis Hospital Umum Sarawak (SGH) yang terletak di Kuching, Sarawak memaklumkan jabatan kecemasan hospital tersebut hanya akan mengutamakan kes-kes kritikal dan tenat ekoran daripada jumlah pesakit yang terlalu ramai.

"Jabatan kecemasan sedang menguruskan beban pesakit kecemasan yang terlalu ramai untuk masa ini dan perlu diberi perhatian rapi.

"Untuk masa ini, kami perlu mengutamakan kes-kes kritikal dan tenat yang datang ke jabatan ini.

"Untuk keadaan yang bukan kecemasan, pelanggan diminta untuk mendapatkan rawatan di fasiliti lain," tulis makluman yang tertera dalam notis tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, notis yang dikeluarkan itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial di Sarawak.

Seorang warga maya, Aj Martinski Brooke Jr berkata, kesesakan di hospital tersebut berkemungkinan berpunca daripada pesakit yang datang dari daerah lain yang tidak mempunyai fasiliti kesihatan lengkap.

"Kuching sendiri sudah ramai penduduk dan daerah lain pun hantar pesakit ke unit kecemasan SGH terutama pada waktu malam. Bila waktu malam pula ada pesakit yang terpaksa ke jabatan kecemasan sebab tiada klinik atau kerajaan yang buka 24 jam.

"Kalau nak mendapatkan rawatan ke klinik swasta pula mahal atau adakah klinik kerajaan yang buka 24 jam? Saya pun tak pasti," tulisnya.

Mohd Sham Mohd Rosli pula mencadangkan agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri untuk membina lebih banyak fasiliti kesihatan di sana terutamanya di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai.

"Kerajaan dan pihak KKM tak nak tambah ke hospital di Sarawak? Penduduk di Sarawak ramai, patutnya tambah beberapa fasiliti kesihatan."Ini yang saya lihat banyak tambah pusat beli belah tetapi fasiliti kesihatan serta kemudahan lain semakin sikit, tak dapat menampung penduduk. Sarawak mempunyai tanah yang luas yang sepatutnya digunakan untuk membina hospital awam," katanya.

Stephen Lawrence juga berharap agar pihak kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan fasiliti dan doktor pakar di Sarawak dengan segera.

"Tolong selesaikan dengan segera, Sarawak ini negeri yang kaya. Bina hospital atau fasiliti kesihatan yang kecil seperti klinik terlebih dahulu. Jangan bila sudah ada kes kematian baru nak bertindak. Nyawa itu tidak boleh diganti, kami rayu tolong bina hospital baharu," katanya.

Alvin Chester mencadangkan agar Klinik 1 Malaysia di bawah kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak dikembalikan semula kerana ia banyak memudahkan penduduk di Sarawak terutama di kawasan kampung.

"Kembalikan semula Klinik 1 Malaysia, mudah bagi kami di kampung ini. kalau tak nak guna nama yang sama, tukar kepada Klinik Rahmah. Kami tidak mampu pergi ke hospital swasta, bukan orang kaya,"katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram