Liridon Krasniqi kembali ke Liga M, 3 kelab jadi destinasi pilihan


  • Podium
  • Rabu, 25 Jan 2023

Liridon sebelum ini sering menjadi perhatian ramai sehingga digelar arkitek terbaik Liga Super.

PEMAIN naturalisasi negara, Liridon Krasniqi sah mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Liga 1 Thailand, Khon Kaen United dan turut memberi bayangan akan kembali beraksi di saingan Liga Malaysia 2023.

Menerusi perkongsian di Instagram, Liridon berkongsi sebuah foto ketika beraksi untuk Khon Kaen dan turut menulis kapsyen:

"Selamat maju jaya buat Khon Kaen United untuk baki saingan musim ini dan juga untuk masa hadapan. Terima kasih kepada penyokong dan pemain.”

Tangkap layar Instastory Liridon.

Selepas menghantar ucapan selamat tinggal buat kelab lamanya Khon Kaen, Liridon turut membuat satu emoji dan pertanyaan ke mana hala tujunya selepas ini.

“Selamat pagi Malaysia. Destinasi seterusnya 2023?.”

Pertanyaan tersebut seolah-olah memberi bayangan Liridon akhirnya akan kembali ke Liga Malaysia sejak pemain itu mewakili Johor Darul Takzim (JDT) dan dipinjamkan untuk menyertai beberapa buah kelab di sekitar Asia.

Namun menjadi persoalan pasukan manakah yang akan mendapatkan khidmat Liridon untuk beraksi di dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Ini merupakan tiga kelab yang sesuai buat pemain kelahiran Kosovo meneruskan karier bola sepak di Malaysia.

F35BE6BE-8D31-4EF4-B70B-954C25CE8662

Liridon pernah dibimbing Cheng Hoe dan Marcote semasa mewakili Kedah.

1. Selangor FC

Adakah Liridon akan kembali bersama Tan Cheng Hoe dan Ramon Marcote di Selangor FC?

Perkara ini boleh terjadi kerana semua sedia maklum hubungan Cheng Hoe bersama Liridon sangat baik ketika kedua-dua mereka bersama Kedah pada 2015.

Tidak terkejut sekiranya Liridon akan ke Selangor kerana dibimbing Cheng Hoe serta sentuhan Marcote prestasi pemain dari Kosovo itu akan kembali menyerlah seperti dulu.

Ini kerana ketika Kedah di bawah bimbingan Cheng Hoe dan Marcote, Liridon sering menjadi perhatian ramai sehingga digelar arkitek terbaik Liga Super yang mana mendorongnya untuk mendapatkan status naturalisasi.

1422658

Liridon pernah beraksi bersama Azam Azih ketika mewakili Malaysia. Facebook/FAM

2. Sri Pahang FC

Kem pasukan Pahang baru-baru ini dikejutkan dengan perpindahan bintang mereka, Lee Tuck yang baru saja mendapat kerakyatan di negara ini.

Sedia maklum pihak pengurusan Sri Pahang membantu Lee Tuck dan Sergio Aguero untuk mendapatkan status naturalisasi berkenaan.

Namun selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan di Piala AFF, pemain kelahiran England ini memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan berhijrah ke Kedah.

Situasi ini membuka peluang cerah buat Liridon untuk beraksi bersama Sri Pahang dan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lee Tuck.

Corak permainan ala tiki-taka serta pengalaman bergandingan bersama Azam Azih di skuad kebangsaan pastinya ditagih Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad.

liridon1_1648466117

Liridon mempunyai kualtiti hantaran dan kawalan bola yang baik. Facebook/FAM

3. Terengganu FC

Sehingga kini menjadi persoalan buat skuad Penyu apabila bekas arkitek tengah mereka, Manuel Ott memilih untuk tidak lagi bersama mereka musim depan selepas berhijrah ke Kedah.

Umum mengetahui musim lalu, Manuel Ott banyak mengerakkan jentera tengah dan memulakan serangan ke kubu pihak lawan.

Dalam siri perlawanan pramusim. kelihatannya jentera tengah Terengganu agak goyah dan kurang kreativiti untuk mencorak permainan serta mengancam kubu lawan.

Dengan 'bebasnya' Liridon, pihak pengurusan Terengganu berpeluang untuk mencipta dimensi baharu buat skuad Sang Penyu dengan membawa masuk bekas pemain Kedah itu beraksi di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner.

Berkemungkinan dengan kepakaran Tomislav dalam menggilap pemain muda boleh diterjemahkan kepada Liridon supaya beraksi seperti dulu.

Tidak dinafikan, Liridon masih mempunyai kualtiti hantaran dan kawalan bola yang baik seperti yang ada pada Manuel Ott, cuma sejak kebelakangan ini prestasi pemain kelahiran Kosovo ini tidak menentu, antaranya disebabkan faktor kurangnya minit permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram