DALAM usaha pemain sayap kebangsaan Safawi Rasid untuk mendapatkan minit permainan, dia memilih untuk berhijrah secara pinjaman ke liga luar negara.
Kelab Thailand, Ratchaburi FC menjadi destinasi untuknya mengembangkan lagi karier di samping memperoleh pengalaman baharu di suasana berbeza.
Pada awalnya, keputusan itu dilihat bakal memberi kesukaran buatnya menyerlahkan bakat dengan gaya permainan lebih laju dan kesukaran untuk berkomunikasi.
Hal tersebut dapat disaksikan apabila beberapa pemain tempatan bergelut ketika berada di Liga 1 Thailand, seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Liridon Krasniqi.
Namun, sejak menyertai skuad kendalian Xavi Moro itu, Safawi berjaya mencuri hati penyokong bola sepak seberang dengan semangat dan kehebatannya di atas padang.
Safawi memiliki masa depan cerah bersama Ratchaburi FC. — Facebook/Ratchaburi FC
Misalnya, ketika aksi menentang Khon Kean United, pemain Harimau Malaya itu kerap melakukan percubaan ke gawang gol lawan, tetapi tidak bernasib baik.
Dalam penampilan keduanya pula, pemain berusia 25 tahun itu sekali lagi memacu barisan serangan skuad Sang Naga dengan hantaran dan larian yang menakjubkan.
Bagaimanapun, dia terpaksa diusung keluar pada minit ke-56 apabila diterjah kasar oleh pemain lawan, Mika Chununosee dilayangkan kad merah atas kesalahan tersebut.
Kedua-dua penampilan berkenaan sudah cukup untuk meletakkan Safawi sebagai antara import terbaik Ratchaburi FC yang sedang berusaha keras untuk menamatkan saingan liga di tangga tiga teratas.
Semangat yang dipamerkan itu cukup untuk membolehkan namanya dijulang dengan penyokong, misalnya menerusi laman akaun Twitter @TheDragonianFC memberi pujian melambung terhadap penyerang kelahiran Dungun, Terengganu itu.
"Kepada penyokong bola sepak di Malaysia, Safawi beraksi dengan cukup baik. Dia mencipta beberapa peluang kepada rakan sepasukan dan dia membuat larian dengan bertenaga," ciapnya.
Perkara itu turut disenangi pengguna media sosial yang terus mengharapkan lebih ramai pemain berpeluang ke Thailand untuk menimba pengalaman.
"Malaysia mempunyai pemain yang memiliki potensi dalam bola sepak, tetapi tidak berkesempatan untuk bermain di liga luar negara. Harapnya Safawi akan menjadi lebih baik di Ratchaburi FC," kata Pravin Varma.
Kecederaan yang dialami pemain tersebut dijangka menyekat peluangnya bersama pasukan dalam aksi selepas ini berdepan pasukan di tangga kelapan, Police Tero FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram