Gandingan TCH-Marcote mampu gilap semula bintang tersisih JDT


  • Podium
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Cheng Hoe (kanan) dan Marcote sekali lagi bergandingan di Selangor FC. — Facebook/Selangor FC

AKTIVITI perpindahan Johor Darul Takzim (JDT) sejak awal Disember lalu menyaksikan beberapa import dibawa masuk pihak pengurusan untuk meningkatkan lagi kualiti skuad.

Bekas pemain tenang Penang FC, Endrick dos Santos dan perancang kelahiran Sepanyol, Juan Muniz menjadi antara rekrut baharu bagi menguatkan lagi posisi berkenaan.

Walaupun mereka sudah mendominasi liga tempatan, hasrat ketua jurulatih baharu, Estaben Solari untuk meneruskan legasi berkenaan memaksa pihak pengurusan untuk melakukan pelaburan itu.

Namun, persoalannya, apakah nasib pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Selatan apabila kehadiran wajah-wajah baharu pastinya menyebabkan peluang mereka dalam pasukan semakin tipis.

Tanda tanya itu pastinya tertuju ke arah pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dengan sumbangannya kian dilupakan untuk kelab Selatan tanah air tersebut.

Musim lepas, dia mengambil keputusan untuk berhijrah secara pinjaman ke kelab Thailand, Khon Kean United bagi membolehkannya meraih minit-minit permainan.

liridon-krasniqi-johor-darul-ta-zim

Liridon gagal mempamerkan bakatnya bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sepanjang tempoh itu, pemain kelahiran Kosovo itu dilihat gagal untuk melakukan sebarang sumbangan dengan hanya enam penampilan mampu dicipta sepanjang kempen Liga Thailand.

Berikutan statistik yang kurang memberangsangkan itu, Khon Kean United bertindak untuk tidak melanjutkan tempoh pinjamannya, sekali gus menyaksikan Liridon bakal pulang ke pangkuan majikannya.

Lambakan bintang-bintang baharu dalam skuad JDT pasti akan memaksa Solari untuk menyisihkannya bagi memberi peluang kepada pemain yang lebih berkualiti.

Oleh itu, terdapat juga kemungkinan bahawa pemain berusia 31 tahun itu tidak akan lagi bersama skuad Harimau Selatan pada 2023, yang mana akan terus merencatkan kariernya.

Bagi menyelesaikan hal itu, Liridon pastinya memilih untuk mencari peluang baharu dalam kalangan pasukan Liga Malaysia yang masih mampu menggunakan khidmatnya.

Tinjauan di media sosial mendapati terdapat beberapa cadangan daripada penyokong bola sepak tempatan yang seakan-akan mendesaknya untuk berpindah ke Selangor FC.

Kata mereka, hal itu adalah kerana skuad Gergasi Merah diterajui dua bekas pengendali Kedah FA, Tan Cheng Hoe dan Roman Marcote yang pernah bekerjasama bersama Liridon.

Sepanjang empat musim bersama pasukan Utara tanah air itu, pemain tengah tersebut pernah dianggap sebagai salah seorang import terbaik ketika membantu mereka menjulang trofi Piala Malaysia pada 2016 dan Piala FA pada 2017.

1645872

Liridon merupakan antara pemain tengah terbaik ketika bersama Kedah FA. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Bagaimanapun, prestasi bersama pasukan kian merudum apabila Cheng Hoe memilih untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang mana menyaksikan Marcote juga mengambil haluan sendiri.

Jadi, dengan kedua-dua pengendali itu akhirnya bekerja semula, terdapat sedikit harapan bahawa mereka dapat mengembalikan prestasi Liridon.

"Mungkin dia boleh pilih untuk ke Selangor FC kerana sesuai dengan Cheng Hoe dan Marcote, mungkin dia juga tidak sesuai jika berada di bawah kendalian ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain," kata Zedy Haji Abdul Razak.

"Pada saya, buat masa sekarang, adalah lebih baik untuk dia pilih ke Selangor kerana adanya Cheng Hoe dan Marcote sebagai jurulatih," kata Zaft Muhd.

"Dia lebih sesuai dengan pasukan yang menggunakan taktikal untuk mengawal bola seperti Cheng Hoe. Sebab itulah dia cukup menjadi ketika berada di Kedah," kata Bijan Elies.

Ketika ini, Selangor FC juga dilihat memerlukan khidmat perancang tengah dengan tanggungjawab itu dipikul pemain muda, Mukhairi Ajmal.

Bagaimanapun, kekurangan dari segi pengalaman dan kepakaran untuk melorongkan bola boleh ditambah baik dengan kehadiran Liridon yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Persoalannya, adakah pihak pengurusan akan memilih untuk mendapatkan pemain itu apabila skuad Gergasi Merah dilihat lebih berminat untuk membawa masuk import-import baharu.

Selain itu, usia dan reputasinya yang semakin tercalar juga akan memberi impak terhadap keputusan itu, apatah lagi dengan mereka mula bercita-cita besar musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram