SELEPAS mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Liga 1 Thailand, Khon Kaen United, destinasi pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi masih belum diketahui sehingga kini.
Sebelum ini, Liridon menjalani perpindahan secara pinjaman ke kelab berpangkalan di Thailand itu dari Johor Darul Takzim (JDT) pada pertengahan musim lepas.
Ada juga yang mengatakan bahawa Liridon sedia untuk kembali beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 terutamanya selepas pemain berusia 31 tahun itu memberi bayangan di laman Insta Story miliknya.
Dengan meletakkan kapsyen 'Selamat pagi Malaysia. Destinasi seterusnya 2023?' telah menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Liga M mengenai hala tujunya.
Selain dikatakan akan kembali ke skuad Harimau Selatan, Liridon atau dikenali dengan jolokan Mat Don itu juga dikaitkan bakal menyarung semula jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC.
"Angin kuat ini. Mereka kata dia nak datang balik. Merekalah kata, Apa-apapun kita tunggu betul atau tidak," tulis penyokong, Harris Malik yang mengharapkan agar Liridon kembali ke bumi Darul Aman.
Tangkap layar Insta Story Liridon. — Instagram/Liridon
Khabar angin itu diperkukuhkan lagi apabila pemain dari Kosovo itu memuat naik video sewaktu beraksi bersama Kedah beserta kapsyen yang ditujukan kepada penyokong Sang Kenari.
"Terima kasih penyokong Kedah untuk komen dan mesej beberapa hari ini. Ia sangat bermakna untuk saya, kamu semua sentiasa ada di hati saya. Sampai jumpa lagi, Insya-ALLAH," tulisnya.
Bukan itu sahaja, bekas pemain Melaka United itu juga dilihat rajin membuat latihan peribadi dan ia menambahkan spekulasi bahawa perkara itu sebagai persediaan kembali ke Liga M.
Bagaimanapun, kebarangkalian untuk memanggil semula Liridon adalah mustahil kerana Kedah sudah mendapatkan khidmat bekas pemain Sri Pahang, Lee Tuck bagi mengisi posisi tengah menyerang.
Namun, jika benar Liridon berada dalam perancangan taktikal ketua jurulatih, Nafuzi Zain, ia juga boleh dikatakan satu pembelian yang berbaloi.
Hal ini kerana, jika Tuck mengalami sebarang kecederaan, Liridon boleh menggantikan posisinya.
Selain daripada itu, Liridon juga tidak perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri bersama Kedah berikutan pengalamannya yang pernah beraksi dengan skuad itu pada 2015 hingga 2018.
Biar ada penyokong Kedah menyifatkan Liridon tidak lagi relevan untuk kembali ke pangkuan skuad Sang Kenari, nampak gayanya bintang naturalisasi itu seakan-akan sudah bersedia untuk menghadam segenap sentimen 'sayang tapi benci' peminat kelab Hijau Kuning musim depan, segala-galanya bergantung kepada prestasinya atas padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram