Kemasukan ke politeknik kurang dapat sambutan, remaja lebih minat jadi 'instafemes' dan artis


  • Massa
  • Selasa, 07 Feb 2023

Kemasukan pelajar ke Politeknik dikatakan semakin berkurangan dengan kecenderungan remaja lebih tertumpu kepada dunia populariti.

PELAJAR lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini dikhabarkan kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi susulan kecenderungan remaja masa kini dilihat lebih ke arah bidang kesenian dan populariti semata-mata.

Ia sehubungan dengan situasi yang berlaku di zaman teknologi sekarang apabila golongan remaja lebih gemar menceburkan diri dalam dunia hiburan yang dikatakan lebih berbaloi daripada pengajian.

Tidak dinafikan bahawa kemajuan teknologi masa kini banyak mendatangkan kebaikan serta kelebihan buat generasi muda yang menjadikannya sebagai batu loncatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan dan sebagainya.

Namun, kemudahan itu telah disalah erti oleh sesetengah pihak yang mendakwa pengajian tinggi sudah tidak relevan dengan zaman sekarang yang dilihat lebih mengutamakan pengalaman serta wang ringgit bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Golongan remaja antara yang paling terkesan dengan isu ini apabila mereka enggan melanjutkan pelajaran selepas peperiksaan SPM, sebaliknya mahu menceburkan diri dalam dunia seni di alam maya sebagai pempengaruh, YouTuber dan selebriti.

Ya, memang benar bahawa kejayaan seseorang itu tidak boleh dinilai berdasarkan kerjaya ataupun bidang yang diceburi namun perkara itu sedikit sebanyak akan menjejaskan generasi muda negara apabila kita bakal kekurangan tenaga kerja dan pakar dari dalam negara sekiranya perkara ini tidak dibendung.

Politeknik merupakan antara pusat pengajian tinggi yang terkesan dengan perkara itu apabila jumlah kemasukan pelajar baharu diktakan semakin berkurangan daripada tahun sebelum ini.

Mengulas lanjut berkenaan hal itu, Pegawai Hal Ehwal Pelajar dari Politeknik Metro Kuala Lumpur, Sharifah Fadiah berkata, beberapa cawangan Politeknik kini sedang menjalankan pendaftaran pelajar secara 'walk-in'.

"Kita memang sedang jalankan pendaftaran secara 'walk-in' dan pelajar yang layak akan diserap masuk terus berdasarkan syarat yang ditetapkan.

"Tidak dinafikan, ini juga merupakan antara usaha pihak pengurusan untuk memberi peluang kepada mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi selepas SPM.

"Memang kemasukan ke politeknik sekarang semakin berkurangan, mungkin faktor kurang minat ataupun tiada dorongan untuk belajar, jadi ini usaha yang kami jalankan untuk beri peluang kepada mereka yang berminat.

"Mungkin juga akan ada penambahbaikan dari segi silibus dan bidang kursus yang ditawarkan, tetapi masih di peringkat awal dan segala maklumat belum boleh dikongsikan lagi buat masa sekarang dan yang sedang berlangsung ketika ini adalah program pendaftaran," katanya kepada Majoriti.

as

Bidang kemahiran merupakan antara kursus yang ditawarkan di Politeknik. — Awani

Menawarkan bidang pengajian di peringkat diploma, pembelajaran di politeknik lebih kepada praktikal dan seimbang dengan akademik secara teori.

Satu ketika dahulu, graduan politeknik amat ditagih oleh industri dengan kebolehan dan kemahiran mereka dalam teknikal dilihat lebih penting daripada ilmu akdemik semata-mata.

Namun, kehadiran platform digital seperti media sosial dan YouTube telah banyak mempengaruhi minda remaja dengan 'jalan pintas' itu dianggap lebih mudah untuk mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu, tinjauan Majoriti di Facebook mendapati, warganet turut menyuarakan pendapat mereka berkenaan hal tersebut.

Fazira Izuwan berkata, kos melanjutkan pelajaran dan hutang biasiswa yang tinggi antara punca mengapa remaja sekarang kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran.

"Kalau sambung belajar, PTPTN dah mencecah belasan ribu ringgit, bila dapat kerja gaji minimum RM1,500 dan kena bayar balik pinjaman dan kos sara hidup tinggi.

"Lebih baik jadi 'instafemes', selebriti ataupun aktif di TikTok boleh buat duit dengan cepat," ujarnya.

"Politeknik memang bagus, pelajar semua dah didedahkan dengan kemahiran industri tetapi bukan semua bidang ada di situ, jadi pihak pengajian perlu tambah lagi bidang lain seperti pengajian media, teknologi dan sains komputer baru la ada minat budak nak belajar," jelas Aero Flyers.

"Sudahnya, industri akan bergantung kepada tenaga kerja asing, anak remaja semua dah lalai nak cepat kaya tapi tak ada ilmu, " tambah Rahmad Casper.

Kehadiran platform digital masa kini dilihat serba sedikit merencatkan perkembangan generasi muda yang terlampau fanatik dengan kekayaan dan populariti yang dikatakan boleh menjana pendapatan dengan mudah.

Justeru, ibu bapa juga disarankan untuk menasihati anak-anak supaya terus melanjutkan pelajaran di pengajian tinggi selepas selesai peperiksaan SPM agar generasi Z negara tidak hanyut dalam era digital yang semakin menguasai dunia ketika ini.

Namun, soal biasiswa dan kos sara hidup juga perlu diambil berat oleh pihak berwajib dengan perkara itu menjadi tumpuan dan beban utama yang dihadapi pelajar masa kini dan diharapkan agar ada penambahbaikan dari semasa ke semasa kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram