KES melibatkan sindiket peminta sedekah tiada berkesudahan dengan perkara itu dilihat kian meruncing kebelakangan ini.
Terbaharu, seorang budak lelaki dilihat bergayut pada sebuah kenderaan ketika sedang berhenti di lampu isyarat merah dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Meskipun tidak dipedulikan oleh si pemandu, budak lelaki berbaju putih itu dilihat terus memanjat dan bergayut di pintu penumpang hadapan.
Rakaman kejadian dikongsikan di laman Facebook dan hangat diperkatakan warganet.
Enggan berganjak dari kereta terbabit, individu berkenaan kemudiannya dilihat terjatuh sebaik kenderaan itu memulakan perjalanan.
Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati, rata-rata penduduk di Kota Kinabalu, Sabah sudah lali dengan kejadian seperti itu.
"Ini selalu berlaku di Kota Kinabalu, budak lelaki itu pun saya macam pernah nampak sebelum ini," ujar Yusuff Ahmad.
"Memang isu sindiket minta sedelah tidak akan selesai, ramai sangat sampai kami yang memandu pun rasa takut," kata Jamiatul Hadawiya.
"Cari kepala sindiket itu, budak-budak ni jadi mangsa kalau balik tak dapat duit mesti kena tibai semua," tambah Biduklalu Tasiklayu.
Belum ada sebarang laporan polis berkaitan isu terbabit setakat ini dan orang ramai diminta sentiasa berhati-hati jika berhadapan dengan situasi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram