[VIDEO] Hujan tanpa henti selama 2 jam, penduduk Relau dilanda banjir teruk


  • Tular
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Tangkap layar beberapa buah rumah di Relau, Kedah dinaiki air banjir.

PENDUDUK Relau, Bandar Baharu, Kedah mengharungi detik mencemaskan apabila dilanda banjir susulan hujan tanpa henti selama dua jam pada Jumaat.

Difahamkan, paras air mula menaik selepas hujan turun seawal pukul 10 pagi hingga ke petang dan mengakibatkan beberapa rumah ditenggelami banjir.

Selain daripada kawasan perumahan, beberapa buah kenderaan juga ditenggelami air dan menyebabkan pemilik terpaksa berputih mata dengan situasi itu.

Rakaman kejadian banjir itu turut dikongsikan di media sosial tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Susulan kejadian itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Relau dekat Bandar Baharu bagi menempatkan mangsa banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Left (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, seramai 14 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Relau, pada 7 malam Jumaat.

"Hujan lebat telah menyebabkan beberapa kawasan di Mukim Relau dinaiki air hingga menyebabkan berlakunya banjir kilat. Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan pemantauan paras air sungai dan mendapati beberapa jalan perhubungan di Mukim Relau turut terputus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS turun sedikit kepada 846 orang setakat 8 malam berbanding 897 orang pada 2 petang Jumaat.

Daerah Batu Pahat yang mengalami banjir termenung merekodkan jumlah mangsa seramai 820 orang yang ditempatkan di lima PPS, manakala 26 mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Segamat.

Di SARAWAK, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di kawasan Serian meningkat kepada 180 orang berbanding 97 orang petang Jumaat dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan St Peter serta Dewan Kampung Mundai.

Di SABAH, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini turun kepada 285 orang daripada 81 keluarga dan berada di tiga PPS berbanding 535 orang daripada 165 keluarga di sembilan PPS pagi Jumaat.

Kesemua PPS di Beluran telah ditutup pada 7 malam Jumaat manakala di Telupid sebuah PPS turut ditutup pada 2 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram